Datuk Ooi Eow Jin. |
PETALING JAYA - Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berjaya mengumpul hampir RM40,000 bagi tabung derma komposer veteran Datuk Ooi Eow Jin.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, jumlah tersebut telah mencapai sasaran awal Karyawan untuk diserahkan pada malam Konsert Untukmu Ooi Eow Jin yang berlangsung pada 15 Disember ini.
"Selain menerima derma persendirian atau korporat terus ke akaun Karyawan, kami juga baru sahaja menganjurkan makan malam untuk tujuan itu pada Selasa lalu.
"Sejumlah RM18,750 berjaya dikutip pada majlis makan malam tajaan Restoran Meesha Sukira @ M Cafe, pelanggan yang hadir dikenakan bayaran minima RM100,
“Jumlah terkini sudah hampir menceceh RM40,000 yang mana melebihi sasaran awal kami," ujarnya kepada mStar Online.
Majlis makan malam amal itu turut dihadiri oleh Tan Sri Ahmad Merican, Datuk Ooi Eow Jin, Datin Elaine, Datin Jeannette, Datuk Mokhzani Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Ong Eng Bin.
Selain itu, Freddie berkata, dia berterima kasih kepada syarikat korporat dan orang ramai yang prihatin menghulurkan bantuan terhadap anak seni itu.
Kehidupan Ooi, 77, yang kini semakin melarat turut mendapat perhatian RTM untuk menganjurkan Konsert Orkestra pada 15 Disember depan bagi meringankan beban beliau.
Beliau pernah bertugas sebagai pengarah muzik di TV3 suatu ketika dahulu telah mencipta lagu-lagu popular antaranya Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Dia Ibuku dan Hati Yang Rapuh.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang terus ke akaun Public Bank Persatuan Karyawan iaitu 3108024130.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 013-2245717 (Anuar) atau 014-7176276 (Amad).