Sawah Tenggelam, 30 Petani Tak Boleh Tanam Padi Musim Ke-2

Petani menunjukkan keadaan sawah yang ditenggelami banjir.
PENDANG - Kira-kira 30 petani di Kampung Pulai, Tokai di sini, tidak dapat meneruskan kerja-kerja penanaman padi untuk musim kedua tahun ini selepas sawah mereka ditenggelami air yang melimpah dari tali air berdekatan.

Difahamkan masalah itu berlaku kerana tali air berkenaan tersumbat dengan tanah yang mendap dan terlalu kecil untuk menampung air terutama pada musim hujan.

Malah mereka juga mendakwa keadaan sungai di kawasan itu yang semakin cetek antara punca air melimpah ke kawasan sawah.

Petani, Abdul Basir Abdul Mutalib, 35, masalah itu semakin serius sejak dua tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan tanaman padi, malah merugikan mereka.

"Ada dalam kalangan kami sudah membelanjakan wang lebih RM 2,000 untuk mengusahakan sawah antaranya membeli anak benih, menabur dan mengupah tenaga kerja.

"Namun padi masih tidak boleh ditanam kerana sawah masih ditenggelami air," katanya yang buntu memikirkan jalan penyelesaian masalah itu.

Kawasan sawah seperti laut Yahya Ishak, 63, pula berkata, sejak masalah itu berlaku, dia sudah melakukan kerja-kerja menanam padi sebanyak tiga kali untuk musim kedua ini.

Namun, katanya, dia kecewa apabila tidak dapat meneruskan kerja-kerja menanam padi kerana batas masih tenggelam dan beberapa kawasan kelihatan seperti laut.

Menurutnya, selain tali air, pembetung di kawasan berkenaan juga kecil dan tidak dapat menampung air bila hujan.

"Oleh itu, saya sangat berharap agar pihak berkenaan dapat menyelenggarakan sistem saliran di sini bagi membolehkan kami meneruskan kerja-kerja menanam padi pada musim ini," katanya.

Bina laluan air sendiri Dalam pada itu, Mohd Nasir Abd Rahman, 47, berkata, sebelum ini, dia pernah membina laluan air di sawahnya bagi mengelakkan padinya ditenggelami air.

Namun menurutnya, inisiatif itu tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan kerana sawahnya tetap ditenggelami air.

"Saya keluarkan modal sebanyak RM4,000 untuk membina laluan air ini, namun nyata tindakan itu hanya sia-sia apabila sawah saya masih ditenggelami air," katanya.

Katanya, bila air dalam sawah surut, dia akan menanam semula padi dengan harapan usahanya itu akan membuahkan hasil.

"Namun keadaan tetap sama kerana masalah ini akan berulang lagi," katanya yang terpaksa menanggung kerugian kerana banyak anak padi rosak.

Tambahnya, masalah berkenaan perlu diselesaikan segera kerana ramai lagi petani yang mengalami kerugian besar.

Sementara itu, Nun Ahmad, 63, pula berkata, selain masalah saliran, mereka juga memerlukan laluan jentera untuk menuai padi yang lebih sempurna bagi memudahkan kerja-kerja menuai dilakukan kelak.

Sumber: Sinar Harian