Setiausaha Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong (tiga kanan) bersama ahli-ahli parti itu menunjukkan kapal korek pasir sambil memegang sepanduk di tepi pantai Bayan Bay, Isnin. - Foto BERNAMA |
GEORGETOWN – Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru mengumumkan kelulusan kerja tebus guna tanah bagi projek tambakan laut di Bayan Bay dekat sini pada bulan lepas sedangkan projek itu diluluskan sejak Mei lalu.
Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata menurut papan notis di tapak kerja projek tambakan laut di Bayan Bay itu, kerja tebus guna tanah tersebut telah diluluskan dan dibenarkan pada 15 Mei lalu.
“Adakah ini bermaksud sebelum pengumuman kerajaan negeri mengenai projek yang baru ini pada November lalu iaitu semasa sidang Dewan Undangan Negeri, kerja-kerja tambakan laut telah dijalankan secara senyap-senyap?,” katanya kepada pemberita di tapak kerja projek tersebut di Bayan Bay dekat sini semalam.
Dalam sidang media itu juga, pihak Gerakan negeri turut meminta kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP memaklumkan bilakah permohonan kebenaran merancang diberi berhubung projek itu.
Menurut notis tersebut, cadangan kerja tanah seluas 5.6 hektar itu adalah bagi tujuan pembangunan rekreasi awam, antaranya mengandungi gelanggang bola keranjang serta trek sepanjang 250 meter.
Selain itu Ong berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk di sini sejak Sabtu lalu yang menyatakan bahawa mereka tidak tahu tentang kewujudan projek tersebut serta tidak menerima sebarang surat atau diminta hadir ke sebarang sesi dialog.
“Mereka berpendapat mungkin tiada perundingan awam bagi projek ini dan sebenarnya penduduk di sini bantah projek tambakan laut ini. Penduduk di sini menanya saya, bukankah projek ini telah dibatalkan sebelum PRU 13?
“Mereka masih ingat bahawa pada masa itu ketua menteri yang mengumumkan pembatalan projek ini, mengapa ia dihidupkan semula dalam masa dua tahun lebih ini?” tanya beliau. – BERNAMA