Selain PATI, Imigresen Kedah Turut Tahan Pasangan Kekasih Di Pendang


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 10 warga Indonesia dalam serbuan di dua lokasi berbeza di Pendang awal pagi tadi.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi pada 2.45 pagi itu lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 30 dan 50 tahun ditahan dalam serbuan di rumah mereka di Bukit Raya dan Jalan Jenun.

Beliau berkata, siasatan mendapati lima daripada lapan lelaki dan dua wanita berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63.

"Tiga lelaki ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya hasil siasatan mendapati seorang lelaki yang ditahan di Jalan Jenun, Pendang mengakui sebagai ketua kepada sekumpulan warga Indonesia yang tinggal di kawasan itu.

Mohamad Yusri berkata, lelaki berusia 34 tahun yang memiliki pas lawatan kerja sementara dalam sektor pembinaan yang tamat tempoh itu dikatakan menguruskan pekerjaan kepada warga asing di tapak pembinaan di Daerah Pendang.

"Lelaki terbabit mengambil peluang untuk menjana pendapatan lebih dengan mengatur pekerjaan kepada warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas lawatan sah," katanya.

Sementara itu, katanya pihaknya turut menahan pasangan kekasih warga tempatan berusia 16 dan 20 tahun di sebuah rumah di Jalan Jenun, Pendang dan menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Polis untuk tindakan lanjut.

"Gadis berusia 16 tahun itu dilaporkan telah melarikan diri sejak April lalu dan ibu bapa kepada gadis bawah umur itu dipanggil untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara warga asing berkenaan ditahan di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik, katanya. - Bernama