Hutang pembiayaan pendidikan Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, salah seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah musim lalu telah diberi pelepasan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pelepasan baki hutang yang berjumlah RM10,069.73 itu diberikan menerusi manfaat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pembiayaan Pendidikan PTPTN.
Selain itu Pengurus Besar Kanan PTPTN Negeri-Negeri, Tuan Din Tuan Mat berkata, arwah juga layak menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,500 yang diberikan kepada warisnya.
“Keprihatinan PTPTN itu diharapkan mampu membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga dan waris Allahyarhamah,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Beliau ditemui ketika mengunjungi rumah arwah Siti Nuroshlizan di Tanah Merah, Kelantan, sebentar tadi.
11 September lalu, lima jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Makkah. -Kedahnews.com