Semua Jawatankuasa PAC Puas Hati Penjelasan Arul Kanda

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpuas hati terhadap penjelasan yang dikemukakan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkaitan syarikat tersebut, hari ini.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata prosiding yang bermula kira-kira pukul 11 pagi tadi, berjalan lancar dan berhenti berehat sehingga pukul 2.30 petang untuk sesi seterusnya.

Arul Kanda pagi ini tampil memberi keterangan buat kali pertamanya kepada PAC.

Arul Kanda dilihat tiba di bangunan Parlimen kira-kira pukul 10.30 pagi dan prosiding terus bermula pukul 11 pagi di hadapan Hasan dan anggota jawatankuasa PAC.

“Ya, kami sudah bersedia untuk prosiding,” kata Arul Kanda ringkas sambil tersenyum di dalam bilik sidang media sebelum prosiding bermula.

Sidang media dijangka diadakan 2 petang ini.

Sebelum ini dilaporkan, Arul Kanda telah dipanggil PAC sebanyak dua kali iaitu pada Mei dan Ogos untuk memberi keterangan berkaitan syarikat berkenaan namun beliau gagal menghadirkan diri.

Semalam, PAC memanggil bekas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif 1MBD Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB, yang dilapor berlaku dalam 2009 ketika di bawah pengurusan beliau.

Hasan dilapor sebagai berkata Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB dijangka dibentangkan kepada pihaknya pada 17 Dis ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan memanggil Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberi keterangan kepada PAC selepas mendengar Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Oleh yang demikian, katanya, laporan lengkap 1MDB dijangka siap sepenuhnya oleh PAC pada Mac 2016. – BERNAMA