Sepupu Yang DiPertuan Agong, Tengku Kechil Mangkat

ALOR SETAR - Sepupu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Kechil ibni Almarhum Tengku Muhammad Shuib, selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Zohor, semalam.

Almarhum menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga sekitar jam 1 tengah hari kelmarin, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Almarhum meninggal dunia akibat sakit selepas beberapa hari mendapatkan rawatan di HSB.

“Sebelum dimakamkan di Makam Diraja Langgar, jenazah ditempatkan di kediamannya di Kampung Bukit Payong, Pokok Sena untuk orang ramai menziarahi,” katanya.

Almarhum Tengku Kechil merupakan cucunda kepada Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Ayahanda Tengku Kechil, Almarhum Tengku Muhammad Shuib adalah putera kepada Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah bersama Almarhumah Sharifah Fatima Sayyid Idrus Shahabudin.

Almarhum merupakan bekas polis dan pernah berkhidmat di cawangan D4 IPK Perak.

Sumber: Sinar Harian