Seramai 4,583 Nelayan Terima Elaun Sara Hidup Tahun Ini


KUALA LUMPUR – Sebanyak 54,583 orang nelayan telah menerima Elaun Sara Hidup (ESH) melibatkan peruntukan sebanyak RM108.95 juta dari Januari hingga Oktober tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek berkata 50,742 daripada jumlah itu ialah nelayan laut manakala 3,841 orang adalah nelayan darat .

“Pemberian ESH adalah terdiri daripada nelayan laut dan nelayan darat tulen sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Prof Dr Ismail Daut (BN-Merbok) yang bertanya mengenai syarat permohonan bantuan sara hidup nelayan supaya golongan ini tidak tercicir daripada menikmati bantuan.

Nogeh berkata bantuan ESH bagi nelayan laut diberikan berdasarkan dua kategori iaitu pemilik vesel individu dan pekerja di atas vesel seperti tekong dan awak-awak manakala pemberian ESH kepada nelayan darat pula adalah kepada yang tulen sahaja.

Sementara itu dalam sesi soal jawab berlainan, Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata sektor perhutanan telah menyumbang kepada 31,861 peluang pekerjaan yang terlibat dalam aktiviti pengusahasilan hutan dan industri berasaskan kayu bagi tahun 2014.

“Pada tahun 2014, seluas 34,069 hektar kawasan hutan simpan kekal (HSK) telah dibuka untuk di usahasil dan menjana pendapatan berjumlah RM374.3 juta di Semenanjung Malaysia,” katanya yang menjawab soalan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah).

Tambahnya pendapatan itu diperoleh melalui kutipan hasil meliputi royalti hasil kayu balak dan keluaran hutan lain, premium, ses dan sumber lain seperti bayaran kompaun dan ganti rugi. – BERNAMA