Skim Subsidi Ditingkatkan, Petani Perlu Jaga Kualiti Padi - Othman Aziz

Othman (tiga, kanan) menyampaikan sijil tauliah kepada wakil Pengerusi Wilayah II dan IV.
ALOR SETAR - Setiap petani perlu menjaga kualiti padi meskipun skim subsidi harganya dinaikkan dari RM248.10 kepada RM300 setiap tan mulai Januari 2016.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, ia perlu bagi memastikan sasaran memperoleh lapan tan setiap satu hektar padi dapat direalisasikan menjelang 2020.

Beliau berkata, penambahan skim subsidi padi akan memberi ruang kepada petani untuk meningkatkan pendapatan dengan syarat dapat mengekalkan kualiti padi yang dikeluarkan. 

“Contohnya jika seorang petani itu mendapat enam tan bagi satu hektar, dia mampu peroleh RM5,760 jika potongan padi ialah 20 peratus,” katanya selepas menyampaikan sijil tauliah wakil Pengerusi Wilayah II dan IV, biasiswa kecil dan anugerah pelajar cemerlang Mada 2014/2015 di Ibu Pejabat Mada, Ampang Jajar, di sini, kelmarin. 

Menurutnya, dikira berdasarkan harga subsidi baru, petani mampu mendapat RM7,200 jika potongan padi adalah sama iaitu 20 peratus. 

“Ini satu peningkatan yang besar. Tapi kita takut jika subsidi tinggi, potongan pun tinggi juga. Misalnya potongan dari 20 menjadi 23 peratus.  

“Maka subsidi itu tidak terkesan. Sebab itu kita minta supaya petani menjaga kualiti padi dan kehilangan selepas tuai,” katanya. 

Othman berkata, walaupun sasaran purata Mada untuk mencapai lapan tan setiap hektar padi,  ada petani yang sudah melebihinya iaitu 10 hingga 12 tan setiap hektar. 

“Tapi purata di kawasan Mada berdasarkan musim satu dan dua ialah 6.5 tan sahaja. Bermakna kita masih memerlukan 1.5 tan untuk mengejar sasaran itu. 

“Sebab itu petani perlu menggunakan benih padi yang sah dan mengamalkan pertanian baik,” katanya. 

Mengenai program itu, beliau berkata, hampir RM400,000 disediakan untuk bantuan kepada 495 pelajar di kawasan Mada, pelajar cemerlang dan bantuan biasiswa bulanan kepada 48 pelajar anak petani dalam kawasan Mada. 

“Ini adalah sebahagian usaha Mada untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan pelajaran keluarga tani dalam kawasan Mada. 

“Kita nampak ramai yang menerima bantuan dari Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang Mada (YPPPM) juga berjaya memegang jawatan penting,” katanya.

Sumber: Sinar Harian