#Sorotan2015: Apa Yang Berlaku Di Parlimen Sepanjang 2015


KUALA LUMPUR – Berikut adalah sorotan penting sepanjang 2015 bagi persidangan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 tahun ini.

MAC:

9 Mac – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-13.

16 Mac – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohonnya.

30 Mac – Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015; Rang Undang-undang Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012; Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Penjara 1995; Kanun Keseksaan; dan Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2012), dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Ia merupakan antara rang undang-undang yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melengkapkan pelaksanaan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.

APRIL:

1 April – Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong berikutan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohonnya.

4 April – Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis maut dalam kejadian helikopter terhempas di Semenyih.


5 April – Kerusi Parlimen Rompin diisytihar kosong berikutan kematian Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

8 April – Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, pada 2.25 pagi, selepas dibahaskan lebih 12 jam.

9 April – Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 pada 2.15 pagi.

10 April – Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan pada pukul 2.30 pagi, selepas dibahaskan kira-kira 14 jam di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Turut diluluskan adalah Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Ahli Parlimen yang ditangguhkan pada sidang Dewan Rakyat lalu.

Berikutan lulusnya rang undang-undang ini, gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).

Sebelum ini, anggota Parlimen menerima gaji pokok RM6,508.59 sebulan selain elaun bulanan RM5,000 bagi menampung perbelanjaan keraian, gaji pemandu, perjalanan dan bil telefon.

Hari terakhir mesyuarat pertama persidangan Dewan Rakyat mencipta rekod sebagai persidangan yang paling panjang dalam sehari selepas ditangguhkan pada pukul 4.25 pagi 11 April setelah bersidang sejak 10 pagi, 10 April, mengatasi rekod persidangan sebelum ini yang berakhir pada 3.21 pagi.

Sepanjang Mesyuarat Pertama, persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015; Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014.

13 April – Persidangan Dewan Negara bermula.

23 April – Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 digubal untuk mengekang semua bentuk keganasan yang mengancam keselamatan negara, dan bukan hanya terhad kepada ancaman militan IS (Daesh) sahaja.

28 April – Persidangan Dewan Negara lulus 15 rang undang-undang termasuk Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015; Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2015; Rang Undang-undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015; Rang Undang-undang Teknologis dan Juruteknik 2014;

Rang Undang-undang Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015; Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) (No.2) 2015; Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015;

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) 2014; dan Rang Undang-undang Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2014.

MEI:

18 Mei – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat bermula.

– Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Hasan Arifin, masing-masing mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh dan Rompin setelah memenang dalam pilihan raya kecil pada April.

– Majlis berkenaan turut menyaksikan Dr Wan Azizah dilantik sebagai Ketua Pembangkang.


– Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengetepikan desas-desus mengenai peletakan jawatan beliau seperti yang didakwa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

19 Mei – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memulakan prosiding siasatan ke atas urus tadbir syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

21 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11)

27 Mei – Dewan Rakyat bincang usul mengenai penemuan 139 buah kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis, sempadan Malaysia-Thailand, yang melibatkan kepentingan orang ramai.

Usul itu dikemukakan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Alor Setar) yang antaranya ingin mengetahui bagaimana kem pemerdagangan dan kubur berkenaan baru ditemui tanpa pengetahuan kerajaan selama ini.


JUN:

9 Jun – Dewan Rakyat rakam takziah dan membahas usul mengenai insiden gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun.

Tragedi gempa bumi yang berpusat di Ranau itu menyebabkan runtuhan batu di kawasan puncak gunung Kinabalu mengorbankan 18 orang terdiri enam rakyat Malaysia iaitu empat malim gunung dan dua pendaki, Singapura (10), dan masing-masing seorang rakyat Jepun serta China.

16 Jun – Usul RMK-11 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, diluluskan tanpa pindaan pada 12.54 pagi.

17 Jun – Rang Undang-undang Persendirian dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan membuka laluan kepada pelaksanaan hukum hudud di Kelantan tersenarai dalam Kertas Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.


18 Jun – Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan 2015; Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015;

Rang Undang-undang Penerbangan Awam (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

22 Jun – Persidangan Dewan Negara bermula.

– Lima Senator angkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara iaitu Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Datuk Dr Ariffin SM Omar yang dilantik semula sebagai senator, dan empat Senator baharu iaitu anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Siti Aisyah Shaik Ismail; anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu Datuk Abdul Rahman Mat Yasin; Pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun; dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Norehan Abu Bakar.

JULAI:

1 Julai – Wakil Kelantan, Khairiah Mohamed dilantik semula sebagai Senator bagi penggal kedua.

6 Julai – Exco Wanita UMNO Azizah Harun mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara untuk penggal pertama bagi tempoh 2015 hingga 2018.

7 Julai – Dewan Negara ditangguhkan, lulus 12 rang undang-undang termasuk Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan 2015; Rang Undang-undang Penerbangan Awam (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Ahli Kimia (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015;

Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2015 selain meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

OKTOBER:

19 Okt – Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat bermula.

– Rombakan Kabinet pada 28 Julai menyaksikan kedudukan tempat beberapa anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) berubah. Antaranya melibatkan kerusi Timbalan Perdana Menteri yang kini diduduki Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet.


– Perubahan kedudukan kerusi anggota Parlimen pembangkang turut berubah dengan pembubaran Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS kepada Pakatan Harapan, gabungan baharu antara PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah).

Berikutan dengan wujudnya parti Amanah, PAS turut kehilangan tujuh anggotanya kepada parti Amanah dan PKR, dan menjadikan jumlah anggota Parlimen PAS kini 14 orang berbanding 21 orang sebelum ini.

Enam Anggota Parlimen PAS – Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Hanipa Maidin (Sepang), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Siti Mariam Mahmud (Kota Raja), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Kuala Krai) menyertai Amanah.

Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) pula menyertai PKR.


– Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu, menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

– Mesyuarat kali ini turut meluluskan usul untuk melantik Ahmad Zahid, Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Presiden MIC yang baharu) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Ketua Pembangkang yang baharu) sebagai anggota baharu Jawatankuasa Pemilih.

22 Okt – Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung daripada menghadiri mesyuarat selama enam bulan selepas beliau tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.


23 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2016.

28 Okt – Menteri Kesihatan umum hasrat kerajaan untuk menimbang kemungkinan mengharamkan penggunaan e-rokok.

NOVEMBER:

2 Nov – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengadakan mesyuarat pertama selepas pelantikan anggota baharu.

4 Nov – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan debat awam mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh dibuat selagi PAC belum beri laporan rasmi siasatan kepada Dewan Rakyat.

26 Nov – Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata kerajaan akan menambah peruntukan larangan menghisap rokok elektronik (e-rokok) atau vape ke dalam undang-undang berkaitan, termasuk untuk mengawal penjualan vape kepada remaja bawah 18 tahun.


DISEMBER:

1 Dis – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016.

– Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tampil memberi keterangan buat kali pertama kepada PAC.


2 Dis – Dewan Rakyat meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dengan menjadikan jumlah kerusi DUN sebanyak 82.

3 Dis – Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pertemuannya dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

– Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen turut meluluskan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015; Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015; Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Kewangan 2015, Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

7 Dis – Mesyuarat ketiga Dewan Negara mula bersidang.

15 Dis – Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016.

16 Dis – Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menempelak Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S. Ambiga kerana sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan di bangunan Parlimen tanpa kebenarannya untuk satu taklimat.


21 Dis – Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang nafi laporan akhbar yang mendakwa hanya enam senator hadir dalam satu sesi perbahasan di Dewan Negara baru-baru ini.

22 Dis – Persidangan Dewan Negara ditangguh, meluluskan tujuh rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Kewangan 2015; Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015; Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 serta Rang Undang-undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015. – BERNAMA