PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu pekeliling baharu dikeluarkan kepada agensi kerajaan yang mengandungi syor-syor penambahbaikan suruhanjaya itu dalam menutup ruang dan peluang rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pekeliling itu akan menjadi garis panduan kepada kementerian, jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkaitan untuk mematuhi cadangan yang dikemukakan SPRM dalam kertas pemeriksaan dan perundingan.
Katanya, dalam pekeliling itu, akan menjelaskan secara terperinci antaranya mengenai saluran undang-undang sedia ada, sistem prosedur yang patut dilakukan serta carta aliran kerja.
“Sekiranya agensi kerajaan atau GLC gagal mematuhi syor penambahbaikan, maka ketua jabatan atau pihak terbabit boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub dalam pekeliling itu,” katanya dalam temu bual bersama BERNAMA di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Mustafar berkata, draf pekeliling itu masih di tahap perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa dan adalah diharapkan ia dapat dipersetujui dan dikeluarkan tahun depan. Beliau berkata, SPRM mengemukakan syor penambahbaikan ke dalam kertas pemeriksaan dan perundingan yang dikeluarkan setiap tahun kepada agensi kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, ada kalanya ketua jabatan atau pihak tertentu akan lewat dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan itu walaupun SPRM melakukan pemantauan berkala – tiga bulan, enam bulan dan satu tahun.
Beliau berkata, kegagalan melaksanakan penambahbaikan itu satu perkara yang serius dalam urus tadbir.
Sumber: Berita Harian