"Star Wars: The Force Awakens" Catat Sejarah Terpantas Kutip AS$1 Bilion


LOS ANGELES – "Star Wars: The Force Awakens" mencatat kutipan global lebih AS$1 bilion (RM4.29 bilion), lebih pantas berbanding mana-mana filem dalam sejarah.

Sekuel ketujuh filem fantasi sains fiksyen itu juga mencatat kutipan domestik tertinggi pada hujung minggu sempena Krismas, mengumpul hingga AS$153.5 juta (RM658.97 juta).

Ia mewakili kedua-dua kutipan terbesar sempena Krismas dan kutipan terbaik minggu kedua buat sebuah filem dalam sejarah.


Di AS, “The Force Awakens” menjana sebanyak AS$544.6 juta (RM2.34 bilion) manakala di seluruh dunia angkanya mencecah hampir AS$1.1 bilion (RM4.72 bilion).

Tempoh tiga hari cuti hujung minggu turut dianggap sebagai kutipan terbesar hujung minggu Krismas secara keseluruhan dalam sejarah, mengalahkan perolehan AS$269.8 juta (RM1.16 bilion) pada tahun 2009, tayangan “Sherlock Holmes” dan “Avatar.” – Reuters