"Star Wars: The Force Awakens" Sedia Temui Penonton Jumaat Ini

Watak R2-D2 (kiri) dan C-3PO ketika melalui karpet merah ketika tayangan perdana filem Star Wars: The Force Awakens di Los Angeles pada Isnin.
PETALING JAYA - Filem yang paling ditunggu-tunggu pada 2015 iaitu Star Wars: The Force Awakens bakal memulakan tayangan serentak bermula Jumaat di negara ini.

Karya Terbitan Walt Disney Studios Motion Pictures dan Lucas Films itu merupakan naskhah terbaharu arahan J.J. Abrams yang itu menampilkan barisan pelakon asal seperti Harrison Ford (Han Solo), Carrie Fisher (Puteri Leia), Mark Hamill (Luke Skywalker), Anthony Daniels (C-3P0), Peter Mayhew (Chewbacca) dan Kenny Baker (R2D2).

Beberapa pelakon baharu turut ditampilkan seperti John Boyega, Daisy Ridley, Oscar Isaac, Andy Serkis, Domhnall Gleeson dan Max von Sydow.

Tayangan perdana Star Wars: The Force Awakens di Los Angeles pada Isnin lalu berlangsung penuh meriah dengan kehadiran bintang-bintang terkenal Hollywood.

Peminat berkumpul ketika tayangan perdana filem Star Wars: The Force Awakens di Los Angeles Isnin lalu.
Pada acara itu, kawalan ketat terpaksa dilakukan memandangkan peminat setia filem itu berkerumun di TCL Chinese Theatre Los Angeles.

Rata-rata daripada mereka hadir dengan berpakaian lengkap kostum Star Wars.

Keadaan itu tidak beza dengan di Malaysia, apabila pihak TGV Cinemas bakal mengadakan tayangan filem itu selama lapan jam bermula 12 tengah malam hingga 8 pagi Khamis.

Acara tayangan itu diadakan secara eksklusif dan besar-besaran di TGV Cinemas Sunway Pyramid di sini.

Ini adalah filem pertama Star Wars selepas Disney mengambil alih kesemua kepentingan francais daripada George Lucas dan berjanji akan menerbitkan episod baru setiap dua tahun mulai 2015.

Peminat menggayakan kostum dari filem Star Wars ketika berkunjung ke sebuah restoran mamak.
Ketika filem pertama Star Wars muncul di pawagam pada 1977, hampir kesemua pelakon utamanya berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tetapi kini Harrison Ford sudah pun berusia 71 tahun, Mark Hamill, 62, dan Carrie Fisher, 57 dan Peter Mayhew, 69.

Pengambaran bermula Mei lalu dengan plot cerita bermula 30 tahun selepas Return of the Jedi yang diterbitkan pada 1983. Ia adalah filem terakhir Star Wars (iaitu episod VI) sebelum kisah ini kembali ke belakang dalam bentuk prekuel dengan Episod I, II dan III.

Dalam perkembangan sama, Golden Screen Cinemas (GSC) dalam satu kenyataan memberitahu pihak mereka telah mula membuka jualan tiket filem tersebut sejak 16 November lalu dan sambutan diterima luar biasa daripada peminat setia karya berkenaan.

Lukisan garifiti filem berkenaan hasil nukilan pelukis Mohd Nor Syaddiq di jambatan Satok di Kuching.
Penjualan tiket tersebut bukan sahaja di kaunter tetapi juga menerusi laman web mereka www.gsc.com.my  dan aplikasi GSC Mobile App untuk pengguna iOS, Android dan Windows Phone.

Selain format 2D, GSC Star Wars: The Force Awakens turut boleh ditonton menerusi 3D, D-Box dan Dolby Atmos.

Bagaimanapun, tinjauan mStar Online menerusi beberapa laman web yang menjual tiket Star Wars mendapati ia telah habis dijual untuk minggu pertama tayangan.

Sementara itu, Facebook turut memuat naik aplikasi yang membolehkan pengguna laman sosial itu menukar gambar profil mereka dengan tema Star Wars bersempena dengan kemunculan filem terbaharu itu.

Bagi merasai kehangatan kemunculan filem itu, beberapa ekspo yang mempamerkan produk naskah itu banyak diadakan di seluruh Malaysia dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Sumber: mStar