"Star Wars: The Force Awakens", Wanita Pegang Watak Utama


NEW YORK – Sekuel filem Star Wars terbaru, The Force Awakens menyaksikan wanita memegang watak utama, berbanding dengan enam siri filem itu yang didominasi lelaki.

Pengarahnya, J J Abrahams dalam rancangan Good Morning America mengakui Star Wars sering dianggap filem kanak-kanak lelaki atau lelaki dewasa, namun beliau berharap ia berbeza kali ini kerana hakikat ia memiliki watak utama wanita lakonan Daisy Ridley (Rey).

“Saya berharap ini boleh menjadi filem di mana ibu membawa anak perempuan mereka. Selain berharap supaya kanak-kanak melihatnya dan membayangkan diri mereka berada di dalamnya serta berupaya melakukan perkara yang mereka fikir mustahil,” katanya.


Enam siri filem Star Wars sebelum ini yang diarahkan George Lucas berjaya menghasilkan gambaran betapa besarnya saiz dan pelbagai alam semesta namun siri itu sering terlepas peminat dan watak wanita.

Sebenarnya wanita memainkan peranan penting dalam Star Wars, contohnya karakter Princess Leia yang muncul sebagai watak fiksyen dan fantasi paling hebat.

Sementara itu di Pennsylvania beberapa penuntut Universiti Lehigh di sini menjalankan projek menentukan kos sebenar membina kapal angkasa bintang mati atau Death Star dalam filem Star Wars.


Kajian itu mendapati kos pembinaan struktur mega Death Star diunjurkan pada AS$852 quadrilion (RM3.5 quintillion) dan jumlah itu adalah 13,000 kali ganda keluaran dalam negara kasar dunia.

Mereka dapati masa diperlukan untuk menyediakan logam pembinaan kapal angkasa itu selama 833,315 tahun kerana mengikut skala sebanyak 1.08 x 1,000,000,000,000,000 besi diperlukan. Sumber logam bumi boleh digunakan untuk bina lebih dua bilion Death Star.

Sumber: Berita Harian