Sebelum ini, kisah cinta di antara Hanez Suraya dan Romi pernah mencetus kontroversi serta menerima kritikan keras dari masyarakat, terutama dari kalangan warga netizen.
Hanez Suraya dituduh sebagai "perampas suami orang" setelah bekas isteri Romie, Liyana Manan meluahkan apa yang terbuku dihatinya tentang isu hubungan suaminya dengan kekasih barunya itu.
Setelah sekian lama mendiamkan diri, akhirnya Romie tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik tuduhan yang selalu dilemparkan kepadanya.
Romie menjelaskan, sewaktu dia dan Liyana berpisah, mereka telah menulis satu perjanjian bahawa anak sulung akan berada di bawah jagaannya manakala anak kedua diberikan kepada bekas isterinya.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat juga beberapa perjanjian lain yang yang tidak dipatuhi Liyana.
"Selama ini masyarakat hanya mendengar cerita sebelah pihak. Saya pula memilih untuk tidak bersuara kerana tidak mahu mengaibkan wanita yang pernah memberikan saya zuriat.
"Saya tidak kisah jika ego saya dicabar dan diperkotak-katikkan oleh Nurliyana. Tetapi apabila membabitkan anak, saya tidak mampu mendiamkan diri.
"Ketika anak kedua di bawah jagaan bekas isteri, saya terkejut apabila diberitahu anak sulung yang adiknya sudah masuk sekolah. Saya tidak mempertikai tindakan Nurliyana itu, tetapi apa perasaan apabila berjumpa anak dalam keadaan tidak terurus dan calar balar?” katanya.
Romie berkata, dia juga terkejut apabila anak keduanya menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut namun tidak diberikan rawatan sewajarnya hinggakan dia terpaksa mengambil anaknya itu untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
Luahnya lagi, Hanez Suraya tidak pernah mencampuri urusan antara dirinya dan Liyana justeru dia berasa pelik dengan tindakan Liyana yang dikatakan masih terus menerus memburukkan isterinya itu.
"Saya tahu masyarakat menyebelahi Nurliyana apabila dia kononnya langsung tidak menuntut apa-apa ketika kami berpisah. Bukan mahu mengungkit, tetapi masyarakat perlu tahu saya sudah sediakan segala-gala untuk keselesaannya.
"Saya sudah siapkan wang ringgit, aset dan keperluan hidup bukan hanya untuk Nurliyana, tetapi juga bekas ibu mentua.
"Mereka hidup selesa atas hak saya tetapi saya langsung tidak mengungkit perkara itu. Tetapi kenapa Nurliyana berterusan memburukkan saya?
"Sekalipun saya berada di pihak yang benar, masyarakat tidak akan percaya. Mereka akan terus meletakkan kesalahan di bahu kami," jelas Romi. -Kedahnews.com