Syabu 11.9 Kilogram Bernilai RM885,000 Dirampas Polis Sabah

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kepayan, Supt Mohamed Abdul Rahman (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan dadah jenis syabu seberat 11,976 gram daripada sebuah pusat kecantikan di Luyang pada satu sidang media semalam. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU – Polis Sabah merampas kira-kira 11.9 kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM885,000 dalam serbuan di sebuah lot kedai kecantikan di Damai Plaza Phase 1, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supt Mohamed Fadzil A. Rahman berkata serbuan itu dibuat selepas menahan seorang lelaki berumur 32 tahun dan pasangannya berumur 27 tahun di tepi jalan Damai Plaza Phase 1, pada 1 tengah hari, hari yang sama.

Katanya hasil soal siasat terhadap suspek berkenaan membawa polis membuat pemeriksaan dan menjumpai 12 bungkus plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, masing-masing disembunyikan dalam laci meja dan di sebuah daripada bilik di lot kedai itu.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2011. Siasatan untuk membongkar rangkaian pengedaran dadah masih diteruskan,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah di sini, semalam.

Mohamed Fadzil berkata rampasan dadah methamphetamine itu merupakan yang terbesar di Sabah bagi tahun ini.

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan di seluruh Sabah,” katanya.

Mohamed Fadzil berkata kedua-dua suspek adalah warga tempatan bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing dibuat polis mendapati suspek bebas dadah.

Turut disita tiga buah kenderaan masing-masing BMW32i, Honda Jazz dan Perodua Myvi dan satu set komputer bernilai RM278,500, katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Sepanjang tahun ini, polis merampas kira-kira 34.66 kilogram dadah jenis methamphetamine, 8.64kg ganja, 0.724kg ketamin, 3,013 biji pil ecstacy dan 2,110 biji erimin 5, katanya.

Mohamed Fadzil berkata pihaknya akan mempertingkat usaha mencegah pengedaran dadah daripada terus berleluasa di negeri itu walaupun pelbagai taktik dan modus operandi digunakan pihak sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa. – BERNAMA