Temuduga Jawatan Inspektor Seluruh Negara Mula Khamis Ini


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan temuduga bagi pengambilan jawatan Inspektor lelaki dan wanita di seluruh negara mulai Khamis ini hingga 22 Februari tahun hadapan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata temuduga itu bagi calon-calon yang telah menduduki dan berjaya melepasi Ujian Integriti Malaysian (MIT) pada 12 Oktober hingga 25 Oktober lepas.

"Status permohonan boleh disemak melalui Sistem Semakan Dalam Talian (SSO) PDRM di laman sesawang http://sso.rmp.gov.my bermula hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain perlu menyemak tarikh dan tempat temuduga masing-masing, calon-calon juga perlu membawa bersama dokumen asal semasa menghadiri temuduga.

Katanya, antara dokumen itu termasuk surat panggilan temuduga yang dimuat turun dari SSO PDRM, surat sokongan daripada pegawai di jabatan masing-masing dan salinan kenyataan perkhidmatan terkini yang disahkan untuk penyelarasan gaji sekiranya berjaya (untuk kakitangan kerajaan sahaja).

Bagi calon yang gagal menghadiri temuduga pada tarikh yang ditetapkan, dianggap tidak berminat dan sebarang rayuan tidak akan dilayan, katanya. - Bernama