Tentera Saudi Berjaya Pintas Peluru Berpandu Puak Syiah Houthi

PEJUANG yang setia kepada kerajaan Yaman melepaskan tembakan mortar, menyasarkan kedudukan pemberontak Syiah Houthi dalam serangan di wilayah Marib.
RIYADH - Tentera Arab Saudi memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman yang disasarkan ke wilayah di sempadan negara itu sebelum subuh semalam, kata tentera pakatan Arab.

Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi terbabit dalam operasi ketenteraan di Yaman berkata, pertahanan udara berjaya menghalang peluru berpandu itu sampai ke wilayah Jazan, selatan Arab Saudi.

“Tentera udara kemudian segera memusnahkan pelancar peluru berpandu itu di Yaman,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa Saudi.

Arab Saudi menempatkan sistem penangkis peluru berpandu Patriot di sempadannya dengan Yaman untuk memintas peluru berpandu yang dilepaskan kumpulan pemberontak Syiah Houthi atau sekutu mereka.

Dalam perkembangan berasingan, tiga penduduk termasuk dua warga India di bandar Najran di wilayah Najan maut akibat terkena serangan meriam dari wilayah Yaman.

Jumaat lalu, sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik dari Yaman dan sebuah lagi peluru berpandu jatuh di sebuah kawasan gurun di Najran.

Semua serangan berkenaan dan juga pertempuran darat di Yaman terus berlaku walaupun gencatan senjata tujuh hari diumumkan sempena rundingan damai di Switzerland yang berakhir kelmarin tanpa banyak kemajuan. - AFP