Tidak Perlu Bandingkan Kes Sazali Dengan Chong Wei, Kata MSN


KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan pihaknya serta Kementerian Belia dan Sukan tidak memberi pembelaan sewajarnya kepada ikon bina badan, Sazali Samad.

“Kenapa perlu untuk membandingkan kes doping dia (Sazali) dengan Chong Wei?” soalnya sambil menegaskan perkara sama akan dilakukan jika situasi Sazali sama seperti dialami Datuk Lee Chong Wei.

“Mungkin ramai yang tidak faham kerana kes Sazali dan Chong Wei adalah dua perkara berbeza. Dalam kes Sazali, dia dan persatuan sendiri tidak membantah dengan keputusan itu.

“Ini bermakna dia mengaku telah melakukan penipuan dan perbuatan ini adalah satu penipuan besar dalam sukan.

“Kami boleh memberikan sokongan penuh kepadanya tetapi dalam kes ini, Sazali sendiri menerima keputusan itu tanpa membantah.

“Ia berlainan dengan kes Chong Wei yang sejak dari awal lagi pemain badminton negara itu mempertahankan dirinya termasuk mengaku tidak bersalah.

“Jadi jangan dakwa kami mengamalkan sikap perbezaan dua darjat,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan dua badan utama sukan tanah air itu mengamalkan dasar ‘pilih kasih’ berhubung isu Sazali yang digantung selama empat tahun oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia.

Ia susulan selepas Sazali didapati gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia pada 1 September lalu.

Hukuman itu berkuat kuasa bermula tarikh keputusan ujian berkenaan diperoleh pada 22 September lalu.

Selain digantung selama empat tahun, elaun yang dinikmati Mr. Universe dan Mr. Asia berusia 48 tahun itu sebanyak RM3,500 sebulan daripada MSN juga ditarik balik.

Bagaimanapun, gelaran 10 kali Mr Universe yang diraih Sazali kekal kerana kesalahan yang dilakukan adalah di luar pertandingan. – Agensi