Tips: 5 Panduan Bagi Mereka Yang Dilanda "Frust", Putus Cinta...


Kami yakin ramai yang pernah menghadapi "cinta monyet". Kami juga faham perasaan kecewa anak muda yang putus cinta memandangkan ramai yang pernah terjebak dengan "sindrom" berkenaan di usia meningkat remaja.

Hubungan percintaan yang putus di tengah jalan sememangnya memilukan. Tidak kiralah sia dia yang meminta percintaan berakhir atau diri kita sendiri, putus cinta sememangnya satu perkara menyakitkan.

Tentunya tiada ubat atau penawar dapat menghilangkan rasa kecewa dan patah hati itu, namun kita tidak sepatutnya terus tenggelam dalam kekecewaan yang memudaratkan diri sendiri.

Jika kita berfikir dan bertindak secara rasional, tentunya dapat mengatasi kekecewaan itu dan teruskan kehidupan dengan tenang di usia muda.

Selain berdoa kepada-Nya untuk menguatkan hati kita,  kami kongsikan beberapa tips yang mungkin boleh diamalkan oleh mereka yang baru putus cinta.

1. Terima hakikat

Salah satu kesilapan besar dalam melupakan bekas kekasih kita adalah berpura-pura atau tidak percaya bahawa hubungan percintaan itu berakhir. Kita berpisah dengannya kerana ada sebab dan ingin kembali bersama bukanlah satu pilihan dalam masa terdekat mahupun selamanya. Jika kita mula menerima hakikat ia sudah berakhir, barulah kita dapat melupakannya sedikit demi sedikit.

2. Bersedihlah sepuasnya

Tidak salah untuk bersedih hati dan menunjukkan kekecewaan apabila cinta berakhir. Kita boleh mengadu kepada rakan, keluarga dan menangislah sekalipun. Memberi masa untuk diri bersedih akan merangkul semua rasa kecewa dalam diri kita. Namun, pastikan ia tidak terlalu berpanjangan.

3. Jangan hubungi dia

Sememangnya tangan dan hati ini rasa mahu saja menghubungi bekas kekasih, namun kita perlu melawan perasaan itu. Kita perlu berjauhan dengan bekas kekasih begitu juga dia kerana jika tidak kita tidak akan berhenti berharap dan memikirkannya. Dalam beberapa bulan atau tahun, mungkin masing-masing bersedia berkawan semula.

4. Sibukkan diri

Cara yang tidak bagus dalam mengeluarkan diri daripada kemelut rasa adalah dengan duduk seorang diri dalam bilik dan termenung memikirkan apa yang berlaku. Keluar atau luangkanlah masa dengan rakan dan keluarga, pergi bersenam atau buat sesuatu yang kita suka untuk mengisi masa. Ia pasti membantu mengubah perhatian kita dan memberi ketenangan kepada kita.

5. Biar masa tentukan

Masa sememangnya boleh membantu kita mengubati hati. Kekecewaan dan keperitan yang dirasakan sekarang tidak akan berpanjangan walaupun ketika ini rasa akan terus kecewa. Jadi, bersabarlah dan kuatkan hati. Semuanya akan OK.

Pada kami, cinta manusia itu terlalu subjektif untuk dinilai dan tidak setulus kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya.

Kasih sayang selalunya hadir dan berbalas apabila kita membahagiakan pasangan kita, namun kita akan dicemuh, dimaki dan dihamburkan kemarahan sekiranya melakukan sedikit kesalahan yang boleh dimaafkan.

Namun berbanding Allah SWT, walau ada yang kufur, meninggalkan perintah dan melakukan dosa sewenang-wenangnya, namun kita masih diberi udara untuk bernafas, kesihatan untuk bergerak normal dan cukup serba serbi dalam menikmati kehidupan.

Malah lebih tulus lagi cinta Allah itu, Dia sentiasa membuka pintu taubat dan keampunan bagi hambaNya yang insaf serta ingin kembali ke pangkal jalan.

Namun berapa ramaikah yang benar-benar cintakan Allah SWT? Cinta hanya dibibir, namun ramai di kalangan kita yang tidak melakukan apa yang Dia perintahkan, malah sering melakukan dosa padaNya? Itukah cinta hamba kepada Tuhannya?

Ya Allah! Kami bertaubat pada Mu, ampunkanlah kami atau kezaliman kami, Ya Allah! Semoga kita sentiasa diberikan hidayah, dikekalkan hidayah sehingga ke hujung nyawa... -Kedahnews.com.