TPPA: Malaysia Boleh Tarik Diri Tanpa Penalti - Mustapa Mohamed


KUALA LUMPUR - Malaysia boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang penalti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia boleh menggunakan klausa penarikan diri itu jika ia memutuskan untuk berbuat demikian dalam tempoh notis enam bulan tanpa dikenakan sebarang penalti.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada Seminar TPP Kebangsaan selama sehari, di sini, semalam.

Mustapa bagaimanapun mengingatkan, tindakan penarikan diri itu juga bermakna Malaysia tidak lagi dapat menikmati manfaat TPP seperti akses kepada pelaburan serta kehilangan peluang menembusi pasaran lebih besar melibatkan 12 negara yang memeterainya.

TPP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan antara 12 negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia.

Negara-negara berkenaan mewakili hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.

Perjanjian itu berkemungkinan dimeterai di New Zealand pada Februari 2016 iaitu hanya selepas Parlimen memberi kelulusan untuk Malaysia berbuat demikian. -Bernama