PUTRAJAYA – Sebuah buku bertajuk ‘Women in Malaysian Academia’, yang diterbitkan bagi mengiktiraf sumbangan dan kebolehan wanita yang pernah menyandang jawatan pro-canselor, canselor, naib canselor dan rektor di universiti awam dan swasta Malaysia, dilancarkan semalam.
Buku jenis ‘coffee-table’ mengenai wanita yang menerajui institusi pengajian tinggi di Malaysia setebal 160 halaman yang pertama kali diterbitkan itu, mengandungi biografi 32 tokoh wanita berserta sebahagian ucapan mereka.
Isteri perdana menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, melancarkan buku itu di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) semalam. Buku itu adalah terbitan bersama YKP dan Universiti Multimedia.
Dalam ucapannya, Dr Siti Hasmah berkata beliau mendapat idea mengenai penerbitan buku itu beberapa tahun lepas apabila menyedari belum terdapat sebarang buku diterbitkan mengenai wanita yang berkhidmat sebagai canselor, pro-canselor dan naib canselor di universiti Malaysia.
“Saya harap penerbitan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Malaysia lain untuk maju dalam kerjaya masing-masing,” katanya sambil menjelaskan bahawa buku itu memberi sanjungan dan menonjolkan wanita hebat yang berjaya meredah halangan serta merintis jalan baharu untuk dilalui wanita lain.
Dr Siti Hasmah berkhidmat sebagai canselor Universiti Multimedia selama 15 tahun. – BERNAMA