Tunjuk Isyarat Lucah, Pereka Grafik Mengaku Tidak Bersalah


BATU PAHAT - Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah tangan kanannya, semalam. 

Tertuduh, Md Aris Husin, 40, yang minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof, di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, sebentar tadi.

Md Aris dituduh mengaibkan kehormatan Sultan Johor,  Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah tangan kanannya di Kilometer 95 Lebuhraya Utara Selatan  (PLUS) Arah Selatan,  dekat sini, pada kira-kira jam 11.20 pagi, 20 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abd Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan hingga sebutan semula kes pada 19 Januari depan.

Sumber: Sinar Harian