![]() |
| PENYAYANG: Naroden mengenakan baju sekolah kepada salah seorang kanak-kanak sambil disaksikan Tan (kiri) dan Lee (kanan). |
KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan Kempen Jualan Kembali Ke Sekolah di pusat beli belah Boulevard di sini, semalam.
Pelancaran kempen sempena sesi persekolahan 2016 yang bakal tiba ini telah disempurnakan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.
Dalam ucapan pelancarannya, Naroden berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam kempen ini bermula semalam sehingga minggu sesi persekolahan dibuka Januari depan.
“Secara peribadi saya menasihati ibu bapa supaya bijak memilih tempat serta barang kelengkapan persekolahan yang menawarkan harga berpatutan.
“Saya juga berharap syarikat-syarikat yang menjual barang kelengkapan sekolah menurunkan harga atau memberi sedikit diskaun bagi meringankan beban ibu bapa,” katanya.
Bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya Naroden turut menggesa pihak KPDNKK membuat pemantauan ke atas jualan barang kelengkapan persekolahan.
Aktiviti pemantauan yang kerap perlu dilakukan bagi memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barang lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Dalam pada itu sebanyak 11 syarikat di Kuching menyertai kempen ini iaitu Boulevard Hypermarket, Sen Sen Department Store, Golden Dragon City, Jun Rong Fashion House, Century Department Store, KK Store, Dongdaemun Fashion & Acc, GSM Department Store, Upwell Superstore, Everrise Department Store dan Alfazal.
Sempena pelancaran kempen itu semalam, turut diadakan penyampaian bantuan dan baucar persekolahan kepada anak-anak daripada Rumah Baiturrahmah Hidayah Centre Ikram, Rumah Amal Nur Murni dan anak-anak daripada Persatuan Ibu Tunggal Sarawak.
Turut hadir, Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan, Pengarah Urusan Boulevard Hypermarket (Kuching) Sdn Bhd Dennis Lee serta yang lain.
Sumber: UB
