Ujian Dari Allah, Beri Masa Untuk Tenang Fikiran - Sazali Samad

Sazali Samad ketika meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-10
Jaguh bina badan negara, Sazali Samad enggan mengulas lanjut berhubung penggantungan selama empat tahun yang dikenakan oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) selepas disahkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September lepas.

"Kesemua ini merupakan ujian daripada ALLAH SWT buat saya... Saya mahu diberikan masa untuk menenangkan fikiran terlebih dahulu sebelum memberikan ulasan lanjut," jelas anak jati Johor itu yang merupakan juara Mr Universe sebanyak 10 kali.

Sazali menjadi atlet terbaharu yang gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Semalam, Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) memutuskan untuk menggantung Sazali selama empat tahun berkuatkuasa 22 September lalu susulan kegagalan ujian doping.

Chong Wei pula diuji positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone dan digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas gagal dalam ujian doping sewaktu Kejohanan Dunia 2014.  

Atlet lain yang turut gagal ujian doping adalah peserta wushu, Tai Cheau Xuen, pelumba basikal trek, Mohd Shah Firdaus Sahrom serta Mohd Azril Huzairi Ramli dan Jelinie Empera, kedua-duanya daripada sukan angkat berat.

Terdahulu, Adamas menafikan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa mereka 'memilih bulu' dalam menjalankan ujian doping secara rambang dalam kalangan atlet elit negara yang terpilih.

Sebaliknya Ketua Unit Adamas, ISN, Nishel Kumar berkata, mereka akan menjalankan ujian doping ke atas atlet berprofil tinggi yang dikatakan mempunyai potensi mengambil bahan terlarang sebagai 'jalan pintas' untuk meraih kejayaan.- Bernama