Unit Amal Pas melaksanakan misi kebajikan membantu kerja-kerja baik pulih rumah fakir miskin dan ibu tunggal. |
KOTA KUALA MUDA – Dua buah rumah daif yang sebelum ini dalam proses baik pulih terpaksa dihentikan sementara akibat kekurangan dana, kini berjaya disiapkan dengan sumber kewangan awam.
Penyelaras Unit Amal Pas Sungai Petani, Khairul Nizal Osman berkata, dua buah rumah berkenaan termasuk sebuah rumah ibu tunggal yang separa siap di Kampung Sungai Emas berjaya dibaiki hujung minggu lalu.
Menurutnya, projek yang dijalankan secara gotong-royong itu melibatkan anggota Sukarelawan Unit Amal Pas Sungai Petani dengan disertai penduduk setempat.
“Bermula awal pagi, sukarelawan sudah berkumpul dan membahagikan tugas termasuk membancuh simen, menampal dinding dan menyediakan makanan,” katanya.
Khairul Nizal berkata, ia juga sebahagian daripada misi kebajikan pasukan itu yang sentiasa melakukan kerja-kerja sukarelawan dalam membantu golongan kurang berkemampuan.
“Sebelum ini kita sudah pun melakukan penambahbaikan terhadap beberapa kerosakan di rumah terbabit yang daif, namun terhenti seketika berikutan kekurangan dana kewangan.
“Bagaimanapun, hasil usaha semua pihak dan penyumbang dermawan, akhirnya dua buah rumah milik golongan sasar ini berjaya dibaik pulih,” katanya.
Beliau berkata, rata-rata sukarelawan yang terlibat amat berpuas hati apabila selesai menyiapkan kerja-kerja terbabit biarpun penghuni terpaksa menunggu lama, namun tetap menggembirakan hati mereka.
Media pada 7 November lalu ada menyiarkan kesulitan yang dihadapi sukarelawan terbabit berikutan kekurangan dana kewangan yang dihadapi untuk membaiki rumah milik ibu tunggal di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda.
Dalam kenyataan sama, beberapa buah rumah lain juga telah dikenal pasti disenaraikan amat memerlukan kerja-kerja baik pulih berikutan keadaan tempat tinggal yang daif.
Difahamkan, kesemua senarai fakir miskin yang menerima bantuan baik pulih itu sudah pun dikenal pasti ketika kunjungan dibuat pasukan sama sempena Ramadan lalu.
Setelah hebahan dilakukan dengan bantuan akhbar, pasukan terbabit menerima dana kewangan daripada penyumbang budiman sekali gus membantu merealisasikan hasrat mereka ke arah misi kebajikan membantu insan memerlukan.
Sumber: Sinar Harian