Datuk Seri Idris Jusoh |
GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi yakin universiti awam di negara ini mampu menjana kewangan mereka sendiri menerusi aktiviti penyelidikan, khidmat nasihat dan kerjasama antara industri.
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata untuk menjadi sebuah universiti bertaraf global, universiti awam seharusnya dilihat tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.
“Ini kita nak jadi global tetapi terlalu bergantung dengan kerajaan…tak kan menjadi, tidak sepadan. Lagipun ini (mencari dana sendiri) bukan satu perkara di luar jangkaan, ia selaras dengan perkembangan di dalam industri mahupun universiti itu sendiri.
“Saya lihat universiti awam pun sanggup memenuhinya. Saya dapat lihat perkara ini dalam peningkatan kerjasama antara universiti dengan industri yang terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pusat Pemindahan Ilmu Toray-Universiti Sains Malaysia (USM), di sini Isnin.
Turut hadir Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa dan Presiden Toray Industries Datuk Akihiro Nikkaku.
Idris berkata universiti seharusnya bijak mencari peluang dan memperbanyakkan kerjasama dengan pihak industri yang bukan hanya mampu menjana kewangan malah memberi peluang pekerjaan kepada graduan.
Dalam pada itu, beliau mengulangi bahawa yuran pengajian bagi pelajar prasiswazah tidak akan dinaikkan sekali gus memberi jaminan kerajaan tidak akan membebankan mereka dengan yuran yang mahal.
Mengulas mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Idris berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan untuk meminda kurikulum peperiksaan itu terutamanya mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu supaya selari dengan kurikulum kebangsaan.
“Saya tidak nampak ianya sebagai isu yang besar. Apabila ianya dapat diselaraskan kita akan dapat satu tempat pertemuan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Idris berkata pembinaan Pusat Pemindahan Ilmu Toray-USM melambangkan kerjasama antara USM dan syarikat dari Jepun itu melangkaui kebiasaan kerjasama yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada penyelidikan dan latihan.
“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Toray (Malaysia) di atas kemurahan hati kamu menyumbangkan RM4 juta sempena sambutan Ulang Tahun ke-40. Sumbangan anda telah membantu USM dalam merealisasikan wawasannya untuk membina pusat itu dan pada hari ini ia berdiri tegak dan membanggakan kita. – BERNAMA