Upin & Ipin, Watak Kartun Paling Diminati Di Jakarta

Upin & Ipin, dua karakter animasi yang jadi kesukaan ramai kanak-kanak.
SEBUT sahaja Upin & Ipin, pasti ramai kanak-kanak di luar sana tahu. Dua watak kartun itu, telah berjaya mencetuskan fenomenanya yang tersendiri bukan setakat di Malaysia, malahan di Indonesia.

Terbaharu, siri animasi Upin & Ipin terbitan Les Copaque Production ini berjaya menggondol anugerah Watak Kartun Yang Paling Diminati dan Kartun Yang paling Diminati pada majlis Anugerah Ibu Anak 2015 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Kemenangan itu diraih selepas mendapat undian pesanan khidmat ringkas (SMS) tertinggi.

Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya berasa gembira dengan pencapaian tersebut dan  akan cuba meneruskan kecemerlangan di masa akan datang.

“Misi kami adalah memberikan yang terbaik dan mewujudkan animasi bertaraf dunia. Kami menyeru mereka yang terlibat dalam industri ini untuk menyertai kami dalam membawa standard animasi tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Bersama watak-watak lain yang turut menyinari animasi bersiri ini.
Siri animasi Upin & Ipin ke udara buat kali pertama pada tahun 2007 dan telah meraih pelbagai anugerah lain. Pencapaian terbaik siri animasi ini adalah aberjaya membuat kemunculan antarabangsa di Disney Channel Asia pada 2009.

Sumber: mStar