VIDEO: Fenomena Kepala Air Di Sungai Sedim Sudah Lama Berlaku

Video viral kepala air di Sungai Sedim, Kulim
KULIM - Kisah yang menjadi viral di media sosial mengenai sekumpulan pelajar berdepan detik cemas ketika fenomena kepala air sewaktu mandi di Sungai Sedim, di sini sebenarnya telah berlaku beberapa tahun lalu.

Video berdurasi 3.34 saat itu dipercayai dirakam pasukan penyelamat ketika misi menyelamat sekumpulan pelajar berkenaan.

Presiden Kelab Sukan Rekreasi Sedim, Yazid Yahaya berkata, kejadian itu berlaku melibatkan sekumpulan pelajar yang sedang mandi di satu kawasan berhampiran titi dan tidak sempat naik ke darat apabila berlakunya kepala air.

"Memang berlaku tapi sudah lama. Mereka yang mandi di situ mungkin terleka hingga tidak sempat naik ke darat apabila kepala air berlaku.

"Nasib mereka baik sebab kebetulan ada pasukan penyelamat sedang buat aktiviti di situ. Jadi mereka telah menghulurkan tali kepada mangsa dan semuanya selamat," katanya.

Menurutnya, fenomena kepala air akan berlaku di semua kawasan air terjun terutama ketika musim hujan.

"Cerita yang viral semula itu mungkin untuk beri peringatan agar pengunjung berhati-hati terutama ketika musim hujan.

"Walaupun di kawasan beriadah tidak hujan tetapi apabila kawasan bukit mengalami hujan, itulah penyebab berlakunya kepala air," katanya.

Katanya, aliran air bertukar perlahan dan daun-daun kayu begitu banyak dibawa arus merupakan tanda awal kepala air berlaku.

"Dalam masa lima hingga 10 minit, kepala air akan terjadi selepas berlakunya tanda awal berkenaan.

"Jadi pengunjung yang sedang mandi perlu segera mencari tempat tinggi kerana kepala air sangat deras dan laju," katanya.






Sumber: Sinar Harian