VIDEO Gaduh Di Kompleks Kota Raya, 2 Individu Dilapor Cedera


KUALA LUMPUR – Sekumpulan 20 orang lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli belah Kota Raya di sini, pada Ahad.

Klip video pergaduhan itu, yang menyerupai rusuhan kaum di Plaza Low Yat baru-baru ini dan berdurasi dua minit 30 saat, telah dimuat naik menerusi laman popular YouTube.

Video itu menunjukkan beberapa lelaki Melayu bergaduh dengan jurujual bukan Melayu di sebuah kedai telefon bimbit, dan ada yang membalingkan kerusi ke dalam kedai berkenaan.

Klip tersebut turut menunjukkan seorang lelaki berkemeja biru, dipercayai jurujual, terbaring di lantai sambil menutup mukanya dengan tangan.

Ketika dihubungi Bernama pada Isnin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan pergaduhan itu berlaku pada 4.55 petang, Ahad.

“Kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” kata beliau.

Difahamkan bahawa dua individu dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Media dalam talian melaporkan berikutan kejadian pergaduhan ganas itu, pihak pengurusan kompleks berkenaan terpaksa menutup sementara premis itu pada Isnin.

Baru-baru ini, sepasukan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyerbu sebuah kedai peralatan telekomunikasi di kompleks itu selepas seorang lelaki mengadu ditipu penjual di situ.

Berita ‘panas’ itu menggemparkan masyarakat apabila badan tersebut mendakwa ramai pelanggan Melayu menjadi mangsa dikurung dalam sebuah bilik kecil selepas ditipu kedai berkenaan.

Menjelang seminggu terakhir Ramadan lalu, insiden sama turut meletus di Plaza Low Yat, Bukit Bintang apabila sekumpulan remaja Melayu nekad menyerang sebuah kedai kerana mendakwa ditipu peniaga.

Rusuhan ganas itu mencetuskan idea pewujudan Mara Digital dalam usaha pihak kerajaan untuk menempatkan ramai usahawan bumiputera berniaga peralatan telekomunikasi di bawah satu bumbung.

Ini kerana monopoli bisnes itu yang dikuasai satu kaum tertentu menyebabkan timbul perasaan kurang senang selain usahawan Melayu sukar mendapat tempat strategik di ibu kota. – Agensi