MANAUS, Brazil – Seorang aktivis yang cintakan hutan bertindak memasukkan ular dan katak berbisa ke dalam mulutnya sebagai bantahan terhadap aktiviti penebangan hutan di Amazon.
Satu rakaman video menunjukkan aktivis itu, Arteval Duarte melakukan aksi bahaya berkenaan di kawasan hutan di Amazon baru-baru ini.
Dalam video berkenaan, Duarte dilihat memegang seekor anak ular berbisa dan seekor katak beracun.
Dia melilit ular itu pada katak sebelum memasukkan kedua-dua haiwan berkenaan ke dalam mulutnya lalu dibiarkan selama beberapa saat sebelum ia keluar dengan sendirinya.
Duarte kemudian memegang kedua-dua haiwan berkenaan sebelum melepaskannya kembali ke hutan.
Katanya, dia melakukan aksi bahaya itu sebagai tanda protes terhadap aktiviti memusnahkan hutan yang kini berlaku di Amazon.
“Sekiranya hutan musnah, haiwan yang luar biasa seperti ini pasti akan pupus,” katanya.
Duarte memberitahu, dia sudah bermain dengan haiwan berbisa selama 15 tahun dan pernah memasukkan tiga labah-labah berbisa ke dalam mulutnya. –Kedahnews.com