"Waktu Dia Dalam PAS, Tidak Bunyi Pun Soal IS..." - PAS Kedah


ALOR SETAR – Pas Kedah membidas tuduhan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang mendakwa parti Islam itu diresapi pemikiran kumpulan militan negara Islam (IS).

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, Mohamad Sabu perlu kemuka bukti kerana tanpa asas kukuh perkara itu akan dilihat sengaja dilakukan untuk memburukkan Pas.

“Pas Pusat telah keluarkan kenyataan supaya dia berikan bukti apabila kaitkan Pas dengan militan.

“Sepatutnya sebagai orang lama dalam politik, dia perlu bercakap berdasarkan fakta dan bukan bertindak melulu menuduh Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kongres Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Maahad Darul Hadis Tok Keling, Alor Mengkudu, di sini, semalam.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah; Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan bekas Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Ahmad Fakhruddin turut mempersoalkan tuduhan Mat Sabu sedangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan ketika berada dalam Pas.

“Kita hairan sewaktu dia dalam Pas, tidak bunyi pun soal IS. Tapi bila dia keluar Pas, terus keluar macam-macam tuduhan.

“Saya faham dia mengerti perkara ini. Mungkin dia ada ‘masalah’ lain. Bukan tidak mahir, tetapi tuduhan itu tidak kena pada caranya,” katanya.

Menurutnya, rakyat sedia memahami bahawa perjuangan Pas adalah melalui demokrasi dan bukan dalam bentuk kekerasan.

Sebelum ini, Mat Sabu mendedahkan mereka keluar daripada Pas dan menubuhkan parti baharu kerana Pas sudah diresapi pemikiran militan IS.

Katanya, pemikiran itu jika tidak dibendung bukan sahaja bahaya kepada Pas, malah kepada keselamatan negara.

Mat Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden Pas bertindak menubuhkan parti Amanah selepas tewas dalam pemilihan Pas, Jun lalu.

Sumber: Sinar Harian