Walau "Sekapal" Dengan DAP, PKR Teruskan "Tahaluf" Dengan PAS

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM - Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) sependirian dengan DAP dalam menolak usaha melaksanakan hukum Hudud di Kelantan, parti itu tetap mahu terus menjalin "kerjasama" dengan PAS.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semalam, mengulangi pendirian bahawa parti itu akan tetap meneruskan kerjasama dengan PAS walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) menolak kerjasama dengan PAS.

Menteri Besar Selangor itu berkata, PKR menyambut baik penyertaan Amanah dalam Pakatan Harapan tetapi menegaskan bahawa PKR akan tetap meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS seperti mana yang diputuskan pucuk kepimpinan parti.

"Kita mengikut ketetapan Majlis Kepimpinan Pusat Keadilan pada 11 Oktober lalu iaitu mengukuhkan Pakatan Harapan serta meneruskan kerjasama dan tahaluf siyasi dengan PAS.

"Sekiranya Amanah tidak mahu ada dua gabungan pakatan (pembangkang) dan menolak (untuk bekerjasama dengan) PAS itu adalah keputusan mereka," katanya dalam kenyataan yang dipetik dari mStar.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang menolak dua gabungan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Khalid dalam satu sidang media semalam berkata tidak perlu dua pakatan pembangkang berikutan telah tertubuhnya Pakatan Harapan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua sebelum ini membayangkan dua pakatan pembangkang akan bertanding pada PRU ke-14 memandangkan PAS enggan menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah. -Kedahnews.com