KOTA BHARU – Wan Hashim Wan Mahmood kelihatan cergas dan bersemangat sebaik tiba di sini selepas menamatkan pusingan pertama daripada tiga pusingan kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand.
Pengayuh basikal warga emas berusia 70 tahun itu memulakan misinya di sini pada 26 November lepas dan tiba pada kira-kira 3 petang Sabtu, selepas menamatkan kayuhan pusingan pertama sejauh 2,500 kilometer dalam tempoh 24 hari.
Beliau yang bersyukur berjaya menamatkan kayuhan pusingan pertama itu, disambut gembira oleh anggota keluarga, kakitangan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan dan Kelab Basikal Kelantan
“Saya akan sambung misi kayuhan bagi pusingan kedua pada Isnin ini. Saya akan berusaha melengkapkan ketiga-tiga pusingan tersebut sejauh 8,000 kilometer dalam tempoh 80 hari,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Anak kelahiran Kelantan itu berkata, kayuhan pusingan pertama agak mencabar kerana terpaksa menempuh musim tengkujuh khususnya di negeri-negeri Pantai Timur melibatkan cuaca hujan dan panas yang menguji ketahanan fizikalnya.
“Pengalaman tersebut akan saya gunakan dalam pusingan kedua dan ketiga nanti bagi melengkapkan misi kayuhan solo ini,” katanya kepada pemberita.
Wan Hashim berkata kebanyakan orang ramai yang menemui beliau di sepanjang laluan kayuhan rata-rata memberi sokongan padu kepadanya untuk terus mencapai kejayaan dalam misinya itu.
“Ada ramai yang tidak percaya dengan kekuatan stamina yang dimiliki selepas dapat tahu umur saya sudah 70 tahun. Kebanyakannya beri sokongan padu kepada saya, ini menambahkan lagi semangat untuk saya sempurnakan misi solo ini,” katanya.
Beliau berkata ibunya Che Hasnah Ahmad, 84; dan isterinya Faridah Daud, 64; adalah antara orang yang paling gembira menyambut ketibaannya selain anak-anak dan cucu-cucunya.
“Saya berdepan sedikit kesulitan ketika di Thailand disebabkan faktor bahasa. Saya terpaksa membuat lakaran untuk bertanyakan beberapa destinasi kepada mereka dan mereka memberi respons yang baik,” katanya.
Selain ingin mencipta rekod baharu peribadi, beliau turut mengedarkan risalah pelancongan di beberapa destinasi sepanjang penjelajahannya bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Kelantan 2016.
Pada Februari tahun lepas, nama Wan Hashim dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai pengayuh tertua mengelilingi Semenanjung Malaysia. – BERNAMA