Yang DiPertuan Agong Tetap Rai Helang Merah Dengan Santapan DiRaja


Biarpun kecundang di tangan The Red Giants selepas gagal membawa pulang Piala Malaysia ke bumi jelapang padi, namun luka para pemain skuad bola sepak Kedah terubat apabila dihargai dan dirai peminat no.1 Helang Merah, Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menurut Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Pasukan Bola Sepak Kedah telah diraikan Yang DiPertuan Agung yang sudi mencemar duli di Majlis Santapan Diraja yang difahamkan telah diadakan di Istana Negara di Jalan Duta.

"Kegembiraan semua penyokong hijaukuning tahun ini turut dirasai dan dikongsi peminat utama skuad hijaukuning iaitu Seri Paduka BagindaYang Dipertuan Agung Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mencemar duli menjemput skuad hijaukuning untuk Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.

"Tuanku telah memberi perkenan untuk mengadakan Majlis Santapan Diraja bersama pegawai, pemain dan keluarga di Istana Negara Jalan Duta," kata Admin di laman rasmi KFA tersebut.

Selain itu, KFA turut menjelaskan bahawa skuad Helang Merah akan direhatkan selama tiga minggu sebelum kembali untuk latihan pra-musim Liga Super 2016 nanti.

Skuad Bola Sepak Kedah dijadualkan terbang pulang ke Alor Setar pada jam 1 tengahari esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sekitar jam 2.30 petang.

Turut dijangka kepulangan wira-wira bola sepak Kedah itu akan disambut meriah oleh ribuan para peminat Hijau Kuning. -Kedahnews.com