YDP Agong, Raja Permaisuri Hadir Majlis Santapan Amal YAYSH

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (empat,kanan) berkenan memotong kek pada majlis santapan malam amal dan sambutan ulang tahun Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) ke-4 di Hotel Shangri-La malam tadi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis Santapan Amal dan sambutan ulang tahun Ke-4 Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di sini, malam ini.

Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak kepada program YAYSH sepanjang 2015 bagi meraikan penyumbang, rakan media serta sahabat yayasan dengan berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.5 juta.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Tunku Puan Temenggong Kedah Puan Seri Tengku Maliha Tengku Ariff serta Tunku Panglima Besar Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek dan pulut kuning sempena Hari Keputeraan Tuanku Abdul Halim selain persembahan beberapa penyanyi terkenal tanah air, termasuk Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain.

YAYSH ditubuhkan pada Julai 2011 bertujuan mengumpul dana bagi mengurus dan menangani isu kebajikan anak-anak yatim. – BERNAMA