Zahid, Hishamuddin Mahu Tubuh "Gelombang Biru" Baru, Urus Perang Siber

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Pasukan Gelombang Biru baharu akan diwujudkan bagi menangani serangan siber dengan lebih berkesan terhadap UMNO dan BN, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau dan seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan bertanggungjawab memperkasakan pasukan itu serta menyelaras strategi yang lebih berkesan.

“Gelombang Biru yang baharu harus lebih fokus dan selaras dalam menangani isu-isu dibangkitkan pihak musuh,” katanya pada sidang media sempena hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini.

Pada sidang media itu yang turut dihadiri Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid diminta mengulas pandangan perwakilan UMNO yang mempersoalkan ketiadaan pasukan Gelombang Biru.

Ini bagi menangani serangan dakyah jahat daripada Red Bean Army, iaitu kumpulan tentera siber pembangkang yang berjaya memanipulasi fakta sarat dengan fitnah terhadap pihak kerajaan selama ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui serangan-serangan secara maya yang ditujukan kepada UMNO dan BN ada kalanya berjaya mengundang persepsi negatif terhadap parti itu.

“Peperangan minda seperti ini harus ada penyelarasan antara penggiat-penggiat alam siber ini bagi memastikan maklumat disalurkan dengan lebih berkesan,” katanya. – BERNAMA