Zambry Kadir Minta Kerajaan Pusat Perdalam Empangan Bukit Merah

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
BAGAN SERAI – Kerajaan Persekutuan diminta menyegerakan tindakan mendalamkan Empangan Bukit Merah yang semakin cetek akibat mendapan agak serius, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata ini kerana kawasan takungan air di empangan itu semakin meningkat berikutan taburan hujan yang banyak sejak tahun lepas.

“Takungan air di Empangan Bukit Merah semakin meningkat dan menyebabkan air terpaksa dilepaskan kerana kalau tidak, ia akan membahayakan keadaan kolam takungan di Empangan Bukit Merah,” katanya.

Perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara baru-baru ini supaya melihat Empangan Bukit Merah, antara yang tertua di negara ini, supaya tindakan segera diambil bagi mendalamkan empangan itu, katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah malam tadi.

Dalam pada itu, Zambry menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melihat semula keseluruhan pelan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Kerian sama ada ia benar-benar dapat mengatasi masalah banjir.

“Kerajaan Persekutuan memperuntuk hampir RM400 juta untuk projek RTB yang bertujuan mengatasi masalah banjir di daerah ini. Sekiranya peruntukan sebesar itu diberikan tetapi masalah banjir masih berlaku, rakyat akan bertanya semula kepada kita ke mana perginya wang itu kerana banjir masih berlaku.

Zambry berkata beberapa penilaian semula mengenai perancangan projek RTB perlu dilakukan supaya perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan dapat dimanfaat sebaik mungkin.

Projek RTB di bawah seliaan JPS, yang bermula sejak 2012 itu dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini dengan kos RM390 juta.

Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian adalah 338 orang daripada 98 keluarga membabitkan kawasan Bagan Serai iaitu Kampung Permatang Tengah, Changkat Lobak dan Parit Air Hitam dengan 139 orang daripada 33 keluarga masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.

Di Bukit Merah, Batu 38, Batu 40, Parit Abu Hassan, Kampung Ali Kalang, Kampung Beriah, Parit Lebai Kadir, Parit Mat Keling, Parit Air Hitam 2, Simpang Empat dan Lima pula sejumlah 172 orang daripada 55 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Di kawasan Parit Buntar, sejumlah 27 orang daripada 10 keluarga dari Ladang Eow Seng, Kampung Tersusun Tali Air dan Simpang Lima dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima. – BERNAMA