Zarina Zainuddin |
Kerana memilih untuk kembali aktif dalam dunia lakonan, ada yang tersalah anggap pelakon senior Zarina Zainuddin mungkin sudah bercerai dengan suami dan bergelar ibu tunggal.
Tidak mahu tanggapan rambang itu terus berpanjangan, Zarina baru-baru ini dilihat memuat naik sekeping gambar bersama suaminya, Datuk Seri Dr. Abdul Raihan di laman Instagram.
Dalam pada itu, Zarina mengakui jarang mendedahkan suami sama ada di media sosial mahupun majlis-majlis hiburan kerana ingin menjaga hati banyak pihak terutama madunya.
“Memang betul saya sangat jarang nak letak gambar saya dan suami sebab banyak hati yang perlu saya jaga terutamanya madu saya. Saya dah anggap Datin Seri seperti kakak sendiri, jadi saya tak mahulah jika tersakitkan hati beliau.
“Memang benar, dah 22 tahun kahwin, tak pernah saya bawa Datuk Seri ke majlis-majlis hiburan sampaikan Datuk Seri tanya ‘malu ke nak bawa saya?’. Tapi saya jawab bukan malu tapi saya sedar saya berkongsi, jadi saya kena hormat Datin Seri.
“Tapi sekarang ini bila saya aktif berlakon, ada pula yang kata saya dah menjanda. Dan ada juga lelaki-lelaki yang tak tahu pasal kehidupan saya, nak cuba-cuba dengan saya seperti nak ajak keluar dan sebagainya.
“Sebab itulah sesekali saya akan letak gambar saya dan suami. Biar orang yang tak tahu akan tahu saya sudah bersuami, masih ada suami, masih isteri orang.
“Saya memang jenis yang tak suka tayang suami. Cukuplah orang tahu saya dah kahwin. Kalau tayang sangat nanti lama-lama ada pula yang menyampah kan. Saya bukan sorok, siapa tahu maka tahulah, siapa nampak maka nampaklah. Yang penting, rumah tangga kami bahagia,” kata Zarina.
Tahun lalu, buat pertama kalinya Zarina mendedahkan identiti suami dan madunya setelah 21 tahun mendirikan rumah tangga dalam satu majlis yang diadakan di rumahnya yang terletak di Subang Jaya, Selangor. –Kedahnews.com