127 Sokong, 84 Tolak: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Lulus TPPA


KUALA LUMPUR – Mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sekaligus meletak negara selangkah ke hadapan untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian kompetitif itu.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Seramai 24 anggota Parlimen membahaskan usul itu yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam.

Usul itu antara lain mencadangkan Dewan Rakyat mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA yang akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Susulan keputusan itu, Dewan Rakyat menyokong keputusan kerajaan bagi Malaysia menjadi sebahagian negara anggota TPPA selepas rundingan perjanjian itu dimuktamadkan pada 5 Okt 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat, selepas lebih lima tahun berunding. – BERNAMA