16 Februari Pengurusan Kes Bunuh Pelajar Perempuan Tingkatan 5 - Mahkamah


BALIK PULAU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 16 Feb depan untuk pengurusan kes seorang pengawal keselamatan yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di rumah keluarganya di Teluk Kumbar dekat sini, Oktober lepas.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi memaklumkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Pada 6 Nov lepas, Tarmizi Yaakob, 20, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Intan Suraya Mawardi, 17, di dalam rumah Blok 5-1-18 Flat Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar dekat sini antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Okt tahun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – BERNAMA