Pelawak terkenal, Zizan Razak mendakwa dia masih lagi belum mempunyai calon yang sesuai untuk dijadikan suri hidupnya buat masa ini.
Namun menurut bekas kekasih Emma Maembong itu, dia tidak akan menyembunyikan berita baik itu dari media dan para peminat sekiranya sudah menemui calon yang difikirkan sesuai untuk dijadikan isterinya nanti.
"Saya memang sudah lama ada niat untuk berkawin, namun calon sahaja belum ada lagi.
"InsyaAllah kalau ada jodoh saya akan beritahu dan tidak akan sembunyikan perkara baik itu," katanya yang mahu memberikan fokus yang lebih dalam kerjaya seninya pada tahun 2016 ini.
Zizan sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan pelakon "gebu", Emma Maembong, namun putus ditengah jalan pada tahun lalu.
Dia kemudiannya dikatakan telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis dari Terengganu, namun dakwaan tersebut dinafikan Zizan.
Mengulas mengenai perancangan kerjayanya pada tahun baru ini, Zizan menegaskan bahawa dia akan cuba sedaya upaya untuk mengelak dari sebarang kontroversi yang mampu menjejaskan namanya seperti yang berlaku pada tahun lalu.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia yakin bahawa kontroversi yang dia lalui pada tahun lalu mengajarnya untuk menjadi lebih matang menghadapi cabaran sebagai anak seni pada tahun ini.
"Ada orang yang memang suka cipta kontroversi tetapi bukan saya, kalau boleh memang saya mahu menggelak daripada perkara tersebut.
"Namun, itu semua ujian Allah dan apa yang saya boleh buat ialah belajar daripada pengalaman untuk mengawalnya agar tidak menjadi lebih buruk," jelasnya dalam kenyataan yang dipetik dari mStar.
Zizan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My Ganu 2! yang diadakan di The Gardens, di sini, semalam. -Kedahnews.com