KUALA LUMPUR – Tahun 2016 diharap membuka lembaran baharu dunia politik orang Melayu, apabila dua parti Melayu dan Islam iaitu UMNO dan PAS dilihat mahu duduk semeja dan bekerjasama demi kepentingan Islam dan perpaduan ummah.
Meskipun harapan untuk melihat kedua-dua parti itu bergabung seperti pada 1970 (sebelum berpecah pada 1978) agak kabur, namun sekurang-kurangnya PAS dan UMNO kini senada dalam memastikan perpaduan ummah terus terpelihara.
Bertunjangkan kepentingan Islam, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, yang diadakan pada Disember lepas, sedikit sebanyak berjaya merintis jalan kedua-dua parti itu untuk ‘berbaik-baik’.
SEJARAH
Sebelum ini, sejarah pernah tercipta apabila presiden kedua-dua parti ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Mohd Noor, berkongsi pentas yang sama bagi membincangkan masalah mengenai Palestin.
Selepas 17 tahun, kedua-dua Presiden UMNO dan PAS sekarang iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk di atas pentas sama di sini membicarakan tentang perpaduan ummah.
Najib sewaktu berucap merasmikan seminar tiga hari itu, mengingatkan para hadirin mengenai larangan Islam untuk umatnya daripada berpecah-belah tetapi perlu mengutamakan perpaduan dalam kalangan umatnya.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, Presiden UMNO itu menghulurkan ‘tali silaturrahim’ kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Pada Isnin, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan sebagai berkata bahawa satu taklimat khas bagi menerangkan isu kerjasama PAS dengan UMNO akan diadakan bagi para pemimpin pusat dan negeri parti itu Sabtu ini.
KETERBUKAAN PAS
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu tidak mempunyai masalah dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO atau mana-mana pihak dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah.
Namun, itu tidak bermakna PAS menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponennya, malah bagi beliau, itu tidak perlu sama sekali.
Katanya PAS melihat usaha perpaduan itu sebagai perkara yang baik sekiranya dibuat dengan penuh ketulusan dan mengambil kira kepentingan ummah secara berpanjangan.
“Kita tidak semestinya menjadi satu parti (bergabung) untuk bekerjasama… kita boleh bekerjasama sambil ‘bergaduh’ asalkan kerjasama itu meletakkan kepentingan agama melebihi daripada kepentingan lain.
“Namun kita tidak mahu keterbukaan ini disalah fahami atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak… kita akan sentiasa berhati-hati dan beringat kerana kita punya pengalaman lampau,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
USAHA YANG BAIK
Beliau berpendapat perpaduan atas dasar kelangsungan atau kepentingan politik, mahupun berasaskan masalah duniawi yang tidak berkaitan, tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan tidak akan berkekalan lama.
“Kalau seperti itu, ia tidak akan ke mana dan hanya bersatu untuk satu ketika kerana apabila kepentingan politik itu sudah dicapai, ketika itu akan bergaduh semula.
“Itu bagaikan perpaduan ‘penyamun’… maka cukuplah dengan kerjasama dalam hal berkaitan kepentingan Islam sahaja,” katanya.
Mohd Amar berkata BN sebagai kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dan membuktikan bahawa mereka serius serta ikhlas dalam menghulurkan salam perpaduan.
Katanya kerajaan juga perlu meyakinkan rakyat bahawa kerjasama yang dilakukan ini sememangnya ikhlas demi memberi manfaat kepada mereka khususnya umat Islam.
“Mereka bukan hanya perlu yakinkan PAS tetapi juga rakyat untuk memastikan usaha baik ini berjaya kerana kalau pun PAS yakin dengan keikhlasan parti itu, tetapi jika rakyat tidak dapat diyakinkan, usaha ini tidak akan ke mana.
“Rakyat akan menilai… dan sekiranya mereka dapat diyakinkan dan usaha itu bergerak atas asas yang benar, pastinya Allah akan rahmati usaha yang baik,
malah ia akan menjadi lebih mudah untuk direalisasikan,” katanya.
CARI TITIK PERSAMAAN
Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, PAS dan UMNO mempunyai banyak titik persamaan dan tiada perbezaan nyata, kecuali berbeza pendekatan politik.
Beliau berkata kedua-dua parti memperjuangkan agama yang sama dan berlandaskan mazhab sama, justeru tidak seharusnya menjadikan perbezaan ideologi politik sebagai penghalang untuk penyatuan.
“Kalau hendak cari kesalahan memang mudah tetapi apakah manfaatnya? Masing-masing ada kelemahan tetapi dalam masa sama masing-masing juga ada kekuatan, kenapa kita tidak lihat kekuatan itu?,” katanya.
Katanya soal-soal picisan dan kepentingan yang boleh menghalang agenda besar perpaduan ummah daripada direalisasikan, serta tidak menguntungkan rakyat hendaklah diketepikan.
“Kalau hendak berpadu, kedua-dua parti perlu buang perasaan taksub serta angkuh, rasa parti sendiri sahaja yang betul, parti lain salah… setiap pihak perlu ada keikhlasan, kesungguhan dan berjiwa besar.
“Bukan bermakna kita perlu mencairkan identiti atau ideologi masing-masing, tetapi cuma mengutamakan dan bersatu demi kepentingan Islam, bangsa dan negara,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata hal yang melibatkan kepentingan Islam seharusnya dituturi dalam nada yang sama di mana kedua-dua parti perlu duduk semeja dan memikirkan apakah agenda besar ummah yang boleh dijadikan titik tolak bersama.
Beliau berkata melihat senario dunia dan negara sekarang yang menyaksikan kesatuan umat Islam semakin longgar, membuktikan kesediaan kedua-dua parti itu untuk bekerjasama adalah tepat pada masanya.
“Saya lihat inilah masa terbaik untuk kedua-dua parti bersatu, bermuafakat dan duduk semeja untuk kita fikir bagaimana kita boleh beri manfaat besar kepada rakyat… tetapi jangan mengharap sesuatu yang luar biasa, apa yang penting cahaya di hujung lorong semakin lama semakin terang,” katanya.
PEMIMPIN TUNJUK CONTOH BAIK
Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata meskipun sebagai parti pembangkang, PAS seharusnya menyokong dasar atau pelan yang diperkenalkan kerajaan sekiranya ia dibuat demi kepentingan bersama terutamanya yang berkaitan pembangunan Islam.
“Kita boleh bekerjasama dalam polisi yang membawa faedah meskipun tidak bergabung… kalau mereka sebagai pembangkang terus membangkang, ini hanya akan terus merosakkan keadaan kesatuan ummah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata pemimpin atasan kedua-dua parti juga perlu berhenti bercakaran dan menunjukkan contoh yang baik kerana sudah pasti rakyat bawahan juga akan mengikut jejak langkah mereka dan berusaha mengelakkan sebarang perpecahan.
Meskipun tidak bersatu sebagai parti gabungan, namun tujuan penyatuan demi perpaduan ummah akan dapat membantu memperkukuhkan lagi kekuatan Islam.
“Ahli hanya mengikut, kalau ketuanya baik, dia baik… kalau ketua kuat bercakaran, dia pun lagi kuat bercakaran. Jadi saya rasa kalau pemimpin dapat duduk semeja dan sepakat, In Shaa Allah rakyat juga akan sepakat.
“Saya berasakan ada kesedaran di kalangan ahli politik di negara kita, baik UMNO atau PAS, mereka semuanya bersemangat Islamik dan sedar sekiranya umat Islam berpecah, ia bakal menjadi malapetaka kepada bangsanya,” katanya.
Harussani berkata semua pihak perlu berfikiran waras dengan tidak menjadikan kerjasama dua parti ini sebagai permainan politik sama ada demi kepentingan diri atau sesuatu puak. – BERNAMA