3 Supermodel Lagenda Digabung Dalam Kempen Iklan Balmain


SEBUT sahaja nama Cindy Crawford, Claudia Schiffer dan Naomi Campbell pasti ramai akan mengingati kehebatan dan keunggulan tiga nama besar dalam industri fesyen dunia ini.

Ketiga-tiga nama besar ini telah berjaya mengukir nama mereka sejak 20 tahun yang lalu di dalam industri fesyen dunia sebagai model yang cemerlang dan disegani.

Mereka juga berjaya menyinari pentas peragaan dunia dengan mewakili banyak nama-nama besar dalam industri fesyen antaranya Gucci, Ralph Lauren, Dior, Tommy Hilfiger, Versace, Calvin Klein, Prada, Donna Karan New York dan banyak lagi.


Terbaru yang dipetik dari sumber Daily Mirror, mereka bertiga bersatu bagi bersama-sama menjayakan kempen iklan terbaru jenama terkenal, Balmain, iaitu Balmain’s Spring Collection 2016.

Kempen tersebut meletakkan tema hitam putih sebagai tema utama dengan menyaksikan beberapa koleksi yang ditampilkan berunsur ala-ala koleksi pakaian tahun 90-an yang menarik.

Umur ketiga-tiga supermodel ini mencecah hampir 50 tahun, tetapi masih mampu memberikan hasil yang baik dan elegan.

Pemilihan ketiga-tiga diva ini dilakukan oleh pengarah kreatif, Olivier Rousteing bersama jurugambar, Steven Klein, yang sememangnya bercita-cita untuk berkerjasama bersama tiga figura hebat ini.


"Sesi penggambaran ini seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Ternyata, ketiga-tiga mereka sangat profesional dan masih mampu memberikan gambar-gambar yang terbaik sepanjang penggambaran berlangsung," katanya.

Ternyata, ketiga-tiga supermodel ini masih mampu beraksi dengan baik dan kebolehan mereka sememangnya tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak. Semoga mereka terus cemerlang dan berjaya. – Kedahnews.com