3,000 Orang Kedah Ambil Borang Bantuan Zakat

Orang ramai beratur bagi mendapat borang bantuan awal persekolahan di LZNK cawangan Kubang Pasu
JITRA - Seramai 3,000 penduduk sekitar Kubang Pasu hadir ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Kubang Pasu di Pekan Jitra bagi mengambil borang untuk mendapat bantuan awal persekolahan 2016, baru-baru ini.

Pengurus LZNK Kubang Pasu, Hamidi Mohd Noor berkata, pihaknya akan memilih mereka yang layak menerima bantuan di bawah syarat asnaf fisabillah dengan sumbangan sebanyak RM400.

"Bantuan itu bagi meringankan ibu bapa untuk persediaan anak-anak ke sekolah tahun ini.

"Sudah menjadi perancangan LZNK Kubang Pasu untuk membantu keluarga yang berkelayakan," katanya.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada agensi kerajaan dan badan berkanun serta individu yang membayar zakat melalui LZNK.

"Pada 2015 lalu, pihak LZNK cawangan Kubang Pasu telah berjaya mengutip zakat sebanyak RM5.8 juta berbanding 2014 hanya RM5.3 juta.

"Peningkatan ini menunjukkan masyarakat telah sedar tentang pentingnya zakat bagi membantu dan meningkatkan taraf hidup ummah di daerah ini," katanya.

Difahamkan, borang bantuan awal persekolahan 2016 itu mula diedarkan sejak 3 hingga 6 Januari lalu.

Sumber: Sinar Harian