50 Gangster Serang Pasar Borong Sentul, Peniaga Dan Pekerja Cedera


Kuala Lumpur - Lebih 50 lelaki menyerang dan merompak beberapa kedai di Pasar Borong Kuala Lumpur, Sentul, di sini, sehingga beberapa peniaga dan pekerja cedera pagi tadi.

Dalam kejadian 4 pagi, kumpulan lelaki tempatan dipercayai ahli kongsi gelap itu mengamuk dan merosakkan barangan di kedai yang diserang.

Peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Yun, 28, berkata dia didatangi kumpulan lelaki itu dengan ada antaranya menumbuk dari belakang menyebabkan kepalanya cedera.

"Lebih 50 lelaki menyerang saya. Ada yang menumbuk dari belakang menyebabkan kepala saya cedera. Saya melarikan diri keluar dari pasar.

“Ketika melarikan diri mereka membaling saya dengan kerusi,” katanya.

Menurutnya, kumpulan lelaki itu turut membaling batu dan merosakkan barangan di kedainya dan beberapa kedai lain di kawasan berkenaan.

Katanya, ada juga kedai serbaneka yang dirompak dan dia sudah membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Sumber: myMetro