725 Terima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negeri Sembilan Hari Ini

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
KUALA PILAH - Bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Kolonel Profesor Datuk Dr Kamarudin Kachar mengetuai senarai 725 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan sempena Ulang Tahun ke-68 keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.

Beliau yang berasal dari Rembau, menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Exco kerajaan negeri Abd Razak Ab Said pula adalah antara lima penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Empat yang lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Datuk Wira Kamaludin Md Said, Presiden Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE) Datin Halimah Mohd Said, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corp Bhd, Datuk Soam Heng Choon.

Arkitek Datuk Hajeedar Abdul Majid dan aktivis masyarakat Datin Vivienne Leong Foong Lai akan menerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Sejumlah 32 orang dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Adnan Abu Hassan dan Ketua MCA Bahagian Jempol, Yap Ching Leong.

Sebanyak 39 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau Abu Bakar Ab Ghalim, Penasihat Wanita MCA Bahagian Teluk Kemang Tan Ah Moi, Pegawai Daerah Jempol Abdul Rahman Johor dan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Negeri Sembilan/Melaka Hassim Shafiai.

Pada tahun ini lima orang menerima pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) dan 13 orang dianugerahkan Darjah Pekerti Terpilih (DPT). - BERNAMA