Nur Shazwin tetap berperwatakan ceria walaupun dirinya menderita sakit jantung. |
KULIM - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap sakit jantung di Kampung Syed Syeh dekat sini memerlukan dana RM60,000 untuk melakukan pembedahan segera.
Siapa pun tidak akan menyangka apabila melihat tindak tanduk, Nur Shazwin Mohd Noor yang aktif itu menanggung kesakitan sejak lahir.
Malah lebih malang ketua keluarga Mohd Noor Darus,47 yang selama ini menjadi tulang belakang kepada lima beranak itu telah pergi menyahut seruan ILLAHI pada Sabtu lalu akibat masalah usus.
Menurut ibu anak terbabit, Shukriah Abdullah,45,sejak dalam kandungan lagi Nur Shazwin telah disahkan doktor akan mempunyai komplikasi yang berkemungkinan berpunca daripada faktor usia.
“Saya mengandungkan Nur Shazwin ketika berumur 43 tahun, doktor juga sudah memberitahu selepas melahirkannya dia terpaksa ditahan di wad dahulu kerana ada komplikasi.
“Jadi jangkaan doktor itu benar, akhirnya anak saya disahkan mempunyai masalah jantung salah satu injap menjadi sempit dan perlukan pembedahan,” katanya.
Katanya walaupun Nur Shazwin telah pun melakukan pembedahan namun ia hanya untuk sementara dan memerlukan tindakan lanjut.
“Doktor cakap ia hanya sementara itu mengelak jantung Shazwin berdenyut begitu laju dan akan membawa maut. Setiap bulan pula saya terpaksa membawa Shazwin ke hospital untuk dapatkan rawatan.
“Doktor cadangkan Shazwin dibedah segera untuk mengelakkan masalah komplikasi lain, dan menyediakan kos perubatan itu,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mampu untuk mencari dana seperti yang dinyatakan dan memerlukan ihsan orang ramai untuk membantunya.
“Saya tak ada simpanan. Dengan gaji sebagai kerani mustahil untuk mengumpul sejumlah itu dalam masa terdekat. Jadi saya mohon ihsan orang ramai untuk membantu kos rawatan pembedahan anak bongsu ini,”katanya.
Bagaimanapun, katanya Nur Shazwin seolah mengerti kesusahan mereka sekeluarga apabila tidak meragam dan jarang mendapat sakit seperti demam teruk.
“Shazwin memang periang, susah nak demam kalau demam pun dua bulan sekali dan tak banyak meragam, saya bersyukur seolah dia memahami kesukaran yang dialami kami sekeluarga,”katanya.
Selain itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Mohd Shaznizal Mohd Noor :02057022489448.
Sumber: Sinar Harian