Ahmad Awang Tempelak "Ustaz" Guna Ayat Al-Quran, Hadis Hentam Partinya

Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang
PASIR MAS - Parti Amanah Negara (Amanah) menempelak sesetengah golongan agama yang dipercayai dari kalangan ahli PAS yang dikatakan sebelum ini bertindak berani dengan "menyalahgunakan" ayat suci Al-Quran untuk menghentam parti itu.

Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkata, golongan agama itu menggunakan petikan surah ar-Rahman ayat 26 bermaksud segala apa yang ada di alam dunia akan binasa dan terjemahan itu merujuk kepada pihaknya.

"Bila golongan agama (ustaz) menggunakan ayat itu, ini seolah-olah mempermain-mainkan al-Quran.

"Semua orang tahu itu satu dosa dan tidak perlu lagi saya huraikan, apatah lagi untuk menghina orang dengan gelaran yang tidak disukai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu sebelum itu, Ahmad menyampaikan ceramah umum dan isu-isu semasa di rumah Ir Ali Omar di Kampung Bendang Pauh, Chetok di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah serta beberapa lagi pemimpin.

Menurut Penasihat Umum Amanah itu, tindakan menggunakan ayat suci Al-quran untuk menghentam partinya merupakan satu perkara dan tindakan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Katanya, perkara berkenaan adalah sama sekali ditegah oleh agama melalui hadis nabi serta ayat suci al-Quran.

Ahmad berkata, Amanah tetap meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan kepada parti berkenaan.

"Kita sentiasa mahu meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan ahli Amanah.

"Sebab itulah kita wujudkan Nadwah Al-Ulamak Lil Nahdah Al-Jadidah (Nunji) yang dipelopori oleh 80 peratus golongan ulamak," jelasnya seperti yang dipetik dari Sinar Harian.

Beliau berkata, Nunji ini akan menggerakkan program-program ilmu ke seluruh negara dengan hasrat memperkasakan lagi Islam dalam kalangan pendokong Amanah. -Kedahnews.com