Ahmad Bashah |
Jika diimbas kenangan ketika PRU ke-13 yang lalu, Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Dato’ Seri Mukhriz Mahathir akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN berjaya merampas kembali Kedah dari PAS.
Pengumuman tersebut dibuat sehari sebelum berlangsung hari mengundi dan kempen bagi PRU ke-13 bakal berhenti pada jam 12 tengah malam itu. Tiada sebarang aktiviti kempen dibenarkan selepas detik 12 malam.
Dikhabarkan Ahmad Bashah yang tahu tentang Mukhriz akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah kira-kira dua bulan sebelum PRU ke-13 berlangsung tetap seperti biasa, malah berkempen bagai orang muda tanpa mengenal erti penat atau lelah.
Biarpun penat bersusah payah sejak mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah sejak BN ditewaskan pada PRU ke-12 kira-kira 5 tahun sebelumnya, Ahmad Bashah tidak kisah untuk tidak dilantik sebagai Menteri Besar.
Khabarnya, Ahmad Bashah ketika dimaklumkan Najib tentang perkara tersebut akur dan menerima dengan baik. Langsung tidak membantah walau sepatah. Malah beliau dikatakan lebih fokus kepada usaha 5 tahunnya untuk merampas Kedah kembali.
Sekiranya orang lain di tempat Ahmad Bashah, penulis yakin ada yang akan protes. Malah bagi sesetengah orang, ada yang sampai tepuk meja atau melompat atas meja. Tapi tidak Ahmad Bashah. Beliau orang lama yang tahu tentang hak Presiden dan bukan jenis gila kuasa.
Khabarnya, beberapa bulan sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada bertemu dengan Najib dan meminta Presiden UMNO itu mengatur supaya melantik anaknya sebagai Menteri Besar di Kedah jika BN berjaya merampas kembali negeri itu.
Tidak pasti sama ada Mahathir tahu bahawa anaknya itu suka atau tidak dengan permintaan tersebut kerana Mukhriz difahamkan lebih memilih untuk menjadi Menteri di Kerajaan Pusat berbanding di Kedah. Namun mungkin atas nama tidak mahu ‘derhaka’, Mukhriz terima dalam ‘paksa rela’…
Ditakdirkan Allah, BN berjaya tewaskan PAS di Kedah. Kerajaan Negeri beralih tangan dan Mukhriz lekas-lekas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Ahmad Bashah langsung tidak melompat atas meja. Malah dilihat masih mampu tersenyum puas walaupun wajahnya terpampang penat lelah sepanjang 5 tahun berjuang.
Siapa yang tidak kenal dengan UMNO Negeri Kedah? Politiknya unik dan sukar dimengerti. Budaya yang diamalkan akar umbi politik UMNO di Kedah berbeza dari yang lain. Sepak teranjang, kias berkias dan enggan bertolak ansur adalah satu kebiasaan. Malah ada yang sanggup bertanding calon bebas, tapi mengaku ‘pejuang UMNO tulen’, itulah orang Kedah.
Setakat bergaduh sesama sendiri dalam UMNO Bahagian di Kedah adalah sesuatu yang biasa. Di mana-mana negeri pun berlaku begitu. Yang hendak tunjuk kuat, hendak tunjuk dirinya paling UMNO di Kedah, dan dirinya paling betul pun ramai juga ketika itu.
Namun itulah yang terpaksa diharungi Ahmad Bashah yang dibayangkan sebagai ‘bodoh’, tidak berpendidikan tinggi dan sering diperlekeh pihak tertentu yang dilihat ‘pro-Mukhriz’ sejak akhir-akhir ini.
Dialah yang menyatukan semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO ketika itu. Dialah yang sibuk mengatur gerak kerja, daftar pemilih, menyusun strategi dan mengetuai semua jenis ‘peperangan politik’ di Kedah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tapi ada pula yang tidak malu, mengaku dialah ‘kepala perang’ yang tewaskan PAS di Kedah…
bashah
Bila Ahmad Bashah dikatakan adalah ‘arkitek’ dan ‘general perang’ yang bertanggungjawab merampas Kedah kembali dari PAS, ramai yang mencebik bibir tetap enggan percaya. Mana mungkin ‘orang bodoh’ seperti Ahmad Bashah mampu lakukan semua itu, bukan? Tapi percaya atau tidak, itulah fakta dan kebenaran yang sebenar.
Ada sumber menyatakan pada penulis bahawa sekiranya Mukhriz tidak diumum sebagai MB, BN mungkin akan menang 3-4 kerusi Dun lagi berdasarkan kajian sikap pengundi terutama pengundi Cina. Namun disebabkan nama Mukhriz disebut sebagai MB, maka ramai pengundi Cina yang beralih kembali ke Pakatan Rakyat ketika itu.
Kenapa? Khabarnya kerana ada nama Mahathir di nama Mukhriz, dan insan itulah menjadi ikon Perkasa yang dilabel sebagai pelampau Melayu ketika itu. Penulis tidak peduli sangat soal itu kerana ia hanyalah sekadar kajian sikap yang terperinci, tapi tidak berpeluang untuk dibuktikan.
Habis kisah lama, Mukhriz ditabal menjadi Menteri Besar Kedah. Semua sokong termasuk Ahmad Bashah. Itulah yang diceritakan kepada penulis oleh ‘orang lama’ yang sudah ‘dipencenkan’ sejak Mukhriz meletakkan ‘orang-orang baru’ yang ‘hebat terlampau’ gerak kerjanya tentang Ahmad Bashah.
Tapi hari ini Ahmad Bashah dicerca, dihina dan diperlekeh oleh penyokong-penyokong Mukhriz. Beliau tidak marah. Ahmad Bashah tidak buat poster suruh berkumpul. Ahmad Bashah tidak ajak berdemo. Ahmad Bashah tidak gunakan tentera siber memaki hamun. Dan dikhabarkan Ahmad Bashah sedang tenang mengatur hari pertunangan anaknya.
Penulis tertanya-tanya, siapa berani nafikan jasa Ahmad Bashah mengetuai UMNO merampas Kedah dari PAS? Siapa pula mampu menafikan pahala yang beliau dapat hasil dari maki hamun dan fitnah para penyokong taksub Mukhriz itu?
Nak sokong, sokonglah. Nak politik, politiklah. Tapi ingat kita ahli UMNO beragama Islam dan kita perlu akur pada dosa dan pahala, kan? -myKMU.net